Anda di sini

Cukuplah bebankan Jakarta dan Pulau Jawa, ibu kota Indonesia dipindah ke Kalimantan TImur

Advertisement
 

Beban Pulau Jawa yang semakin berat dengan penduduk 150 juta orang, kira-kira 54 peratus daripada jumlah penduduk Indonesia. Beban ini semakin berat jika ia tidak dipindahkan - Presiden Indonesia, Joko Widodo.

DESAS-desus lokasi ibu kota negara Indonesia sudah disahihkan Presiden Joko Widodo pada 26 Ogos 2019.

Kalimantan Timur menjadi lokasi pilihan pemerintah republik itu, untuk lebih spesifik sebahagian di daerah Penajam Paser Utara dan sebahagian Kutai Kartanegara.

Rancangan perpindahan itu mendapat liputan meluas media antarabangsa. Dikupas dari berbagai sudut.

Boleh dikatakan majoriti kupasan menyentuh tentang kelestarian alam sekitar yang akan terjejas di Kalimantan Timur kelak. 

Gubernur Kalimantan Timur Isran Noor dengan segera menafikan dakwaan media antarabangsa.

Kota itu akan mengekalkan kelestarian alam. Kira-kira 70 peratus kehijauan akan dipastikan kekal.

 

Pusat pentadbiran baharu itu akan meliputi 250,000 hektar - berbanding Jakarta kira-kira 60,000 hektar.

Antara sebab pusat pentadbiran negara jiran itu dipindah - Jakarta dan Pulau Jawa sudah terlampau dibebani berbagai aspek, jelas Jokowi ketika mengumumkan pemilihan Kalimantan Timur.

"Beban Pulau Jawa yang semakin berat dengan penduduk 150 juta orang, kira-kira 54 peratus daripada jumlah penduduk Indonesia. Beban ini semakin berat jika ia tidak dipindahkan," jelasnya.

Di Jakarta penduduknya dianggarkan 10 juta orang. Ibu kota negara itu dikatakan sudah wujud sejak 1940-an.

"Jakarta pada saat ini sudah terlalu berat sebagai pusat pemerintahan, kewangan, perniagaan dan perdagangan. Dan menempatkan bandar udara (lapangan terbang) dan pelabuhan laut terbesar di Indonesia," ujarnya.

Perpindahan itu menurutnya membabitkan AS$33 bilion atau 466 trilion rupiah. Pembinaannya merangkumi Istana Presiden, bangunan Rumah Perwakilan dan ibu pejabat polis dan tentera.

Persoalan mengapa perlu dipindah sekarang, beliau mengetengahkan bahawa Jakarta dan Pulau Jawa tidak harus terus menerus dibebani dengan masalah kesesakan lalu lintas, pencemaran udara dan air yang - ia mesti ditangani segera.

Kalimantan Timur, yang bersempadan dengan Malaysia dipilih kerana bebas dari bencana alam besar seperti gempa bumi, tsunai, tanah runtuh, banjir dan kebakaran hutan.

Lagipun lokasinya strategik terletak di tengah-tengah Indonesia.

Kajian kesesuaian lokasi dijalankan selama tiga tahun.

Malahan, kawasan tersebut mempunyai dua bandar maju - Balikpapan dan Samarinda - maksudnya memiliki infrastruktur yang lengkap termasuk lapangan terbang antarabangsa di dua bandar itu.

Antara kritikan diterima ialah bagaimana dengan tapak ibu kota baru itu, adakah ia membabitkan tanah milik penduduk? Tidak. Menurut Jokowi, kerajaan memiliki kira-kira 180,000 hektar di tengah daerah Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara.

 

Ibu kota negara baru itu terletak kira-kira 1,000 kilometer dari Jakarta, dan turut berkongsi Pulau Borneo dengan Brunei selain wilayah Malaysia - Sabah dan Sarawak.

Pulau Borneo terdiri daripada 73 peratus Kalimantan, Sabah dan Sarawak 26 peratus, dan Brunei satu peratus.

Kegiatan ekonomi Kalimantan yang mempunyai 3.5 juta penduduk itu bergantung dengan perlombongan arang batu dan emas, perladangan dan pembalakan.

Tanpa didedahkan lokasi sebenar pusat ibu kota baharu itu, kerja-kerja pembinaannya dijangka bermula tahun depan dan siap pada 2023.

Perpindahan diramal dapat dilakukan pada 2024.

Dianggarkan perpindahan itu membabitkan 1.5 juta orang merangkumi pegawai kerajaan, keluarga mereka dan pekerja industri sokongan.

Penduduk di Samarinda dan Balikpapan amat teruja dengan khabar rancangan kerajaan mereka, dengan harapan agar taraf sosioekonomi mereka di situ bertambah baik.

 Kepadatan penduduk yang tinggi di Jakarta memerlukan pusat pentabdiran Indonesia dipindahkan.
Kepadatan penduduk yang tinggi di Jakarta memerlukan pusat pentabdiran Indonesia dipindahkan.

Sarawak pula melihat perpindahan itu dari aspek perkembangan ekonomi. 

Selain potensi pelancongan, Menteri Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berpendapat ia juga berupaya mengembangkan sektor tenaga. 

"Sesebuah negara memerlukan bekalan elektrik dalam membangunkan bandar, yakni ruang untuk diteroka Sarawak.

"Jika ada lebihan tenaga dihasilkan Empangan Hidroelektrik Bakun dan Belaga, kerajaan negeri mungkin boleh menjualkan kepada Indonesia," katanya baru-baru ini.

  • oleh
  • Advertisement