Anda di sini

Adik beradik Russo mulakan misi global selepas ‘Endgame’

Advertisement
 Joseph Russo (kiri) dan Anthony Russo. — Gambar AFP
SENTUHAN EMAS: Joseph Russo (kiri) dan Anthony Russo. — Gambar AFP

APABILA anda baharu sahaja mengarah filem blockbuster terbesar dalam sejarah, anda memperolehi pengaruh untuk menentukan terma, malah dengan eksekutif tertinggi sekali pun di Hollywood.

Namun bagi adik beradik Russo, ia turut menimbulkan pertanyaan yang pasti biasa didengar oleh adiwira ‘Avengers: Endgame’ – apakah yang hendak dibuat seterusnya dengan semua kuasa itu?

Dalam satu temu ramah bersama AFP di Festival Filem Toronto, adik beradik Russo mengakui pengaruh yang mengiringi kejayaan box office global sedemikian yang tidak pernah berlaku merupakan “alat yang amat berkuasa sekali, lebih berkuasa daripada apa yang kita fahami”.

“Ia dapat digunakan untuk pengukuhan yang positif atau pengukuhan yang negatif,” kata Joe Russo, yang pada usia 48 tahun, adalah yang lebih muda sedikit di antara dua adik beradik yang ramah dari Cleveland, Ohio, itu.

Adik beradik itu tidak menghabiskan jelajah promosi dunia mereka yang banyak untuk Marvel hanya dengan mengambil swafoto tidak habis-habis bersama peminat buku komik yang histeria, tetapi juga mencari saluran baharu untuk diterokai, kata mereka.

Hasilnya adalah beberapa projek politik yang khususnya bersifat antarabangsa untuk studio baharu mereka AGBO – dan tiada satu pun adiwira yang memakai spandeks kelihatan.

Mula-mula sekali adalah ‘Mosul’, yang mendramakan kisah benar tentang pasukan SWAT Nineveh dalam pasukan polis Iraq yang berjuang untuk menawan semula kota asal mereka dari kumpulan Daesh (IS) pada 2017.

Filem aksi itu, yang diilhamkan oleh sebuah artikel dalam akhbar New Yorker, diceritakan sepenuhnya dari perspektif orang Iraq dan dirakamkan dalam bahasa Arab – sesuatu yang radikal bagi Hollywood.

“Ia rasa sudah begitu lama dinanti-nantikan,” kata Anthony Russo, 49 tahun.

“Itulah sebabnya kenapa kita tahu filem ini perlu dibuat – kerana filem ini tidak pernah dibuat.”

Turut sedang diusahakan adalah ‘Dhaka’. Sebuah filem mengenai penculikan seorang ahli perniagaan Bangladesh dengan kebanyakan penggambaran dibuat terutamanya di India, dan filem adaptasi anime Jepun ‘Battle of the Planets’.

Namun politik merupakan perkara yang umum dalam projek-projek adik beradik itu seterusnya, termasuk sebuah filem tentang wabak opioid di negeri asal mereka, Ohio.

“Kita hidup pada zaman di mana perpecahan begitu banyak sekali – perpecahan sedang digalakkan,” kata Joe.

“Anda sama ada menjaga kepentingan diri sendiri sekarang, atau anda menjaga kepentingan masyarakat.

“Dan kita memilih untuk menjaga kepentingan masyarakat.”

Tanpa menyebut nama mana-mana ahli politik secara langsung, mereka berkata ia pasti “hebat” jika Rumah Putih sekarang menonton ‘Mosul’.

“Jelas sekali terdapat kesalahan yang menakjubkan oleh pihak AS kerana mewujudkan masalah di Iraq, dan ISIS merupakan hasil langsung daripada peperangan di sana,” kata Joe, yang menggunakan akronim bagi kumpulan IS.

Semua itu merupakan peralihan yang ketara daripada projek adik beradik Russo sebelum ini.

Adik beradik Russo mula-mula mencapai pengiktirafan di seberang laut untuk kerja mereka dalam program TV yang amat popular seperti ‘Arrested Development’ dan ‘Community’.

Namun selepas berjaya mengarah ‘Captain America: The Winter Soldier’ pada 2014, mereka dengan cepat menduduki tempat teratas dalam kumpulan pembuat filem Marvel Studios yang lumayan.

Adik beradik itu tidak komited kepada mana-mana filem Marvel pada masa depan, tetapi keinginan mereka untuk mengimport perspektif baharu kepada pembikinan filem di Hollywood sudah pun ketara dalam projek-projek seterusnya bagi francais milik Disney berkenaan.

‘Ms Marvel’ tidak lama lagi akan menjadi adiwira Muslim atas skrin pertama terbitan Marvel, dengan siri TV di saluran striming Disney+ tentang seorang gadis remaja yang berasal dari Pakistan dan tinggal di New Jersey.

Simu Liu yang dilahirkan di China akan menjadi adiwira Asia utama yang pertama dari Marvel dalam filem yang akan keluar pada 2021 ‘Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings’.

Menurut Joe, ketua Marvel Studios Kevin Feige “menggunakan banyak tenaga untuk mempelbagaikan Marvel Universe kerana semua orang ada hak untuk melihat cerita mereka di atas skrin”.

Sudah tentulah, motif keuntungan tidak dapat dielakkan – ‘Endgame’ mengaut lebih banyak keuntungan di box office Asia berbanding AS$860 juta yang berjaya dikutip di negara sendiri.

“Joe dan saya amat menyukai penceritaan global,” kata Anthony.

“Filem Marvel kami merupakan antara karya kegemaran kami yang kami pernah buat.”

“Pawagam berada dalam kedudukan yang unik untuk membantu membuka orang ramai kepada pengalaman baharu dan idea baharu.”

Adakah itu bermakna mereka akan kembali ke dunia adiwira suatu hari nanti? “Mungkin lebih banyak filem Marvel. Kita tidak bercakap mengenai apa-apa buat masa sekarang.” — AFP

Advertisement