Anda di sini

Sesi ‘Investors Townhall’ kemas kini prestasi perniagaan Kumpulan SEB

Advertisement
 Sharbini menyampaikan ucapan pembukaannya sebelum melakukan pembentangan.
AMANAT: Sharbini menyampaikan ucapan pembukaannya sebelum melakukan pembentangan.

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) mengadakan sesi ‘Investors Townhall’ minggu lepas untuk mengemas kini lebih daripada 100 wakil daripada komuniti perniagaan dan pelaburan mengenai prestasi perniagaan Kumpulan dan untuk menarik pelabur baharu bagi Program Sukuk Musyarakah yang berjumlah RM15 bilion itu.

Acara tahunan ini diadakan untuk meningkatkan kefahaman tentang strategi pertumbuhan trajektori korporat dan strategi perniagaan.

Mereka yang hadir pada sesi tersebut terdiri daripada institusi kewangan tempatan dan luar negara termasuk syarikat dana pencen, pengurusan aset, perbankan dan entiti insurans.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datu Sharbini Suhaili berkata, pihaknya menyampaikan taklimat komprehensif berkaitan pencapaian syarikat tersebut dari segi kewangan dan prestasi korporat, selain menyentuh mengenai pekembangan akan datang dan menegaskan komitmennya terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Sesi ‘Investors Townhall’ merupakan sebahagian daripada komitmen kami dalam menegakkan ketelusan dan amalan baik supaya pihak berkepentingan dalam komuniti perniagaan dan pelaburan mendapat maklumat yang jelas,” ujarnya.

Sehubungan itu, SEB yang tidak tersenarai sebagai syarikat awam turut menerbitkan laporan tahunan dan laporan kelestarian yang memenangi anugerah setiap tahun walaupun ia tidak diwajibkan untuk berbuat demikian.

“Tahun ini, kami turut memilih untuk menonjolkan hal ehwal kelestarian selain memaparkan usaha kami dalam memupuk amalan kelestarian dalam semua peringkat operasi kami.

“Kami menyedari trend terkini para pelabur yang mengambil kira ESG ketika memutuskan strategi dana mereka.

“Semakin ramai yang mempertimbangkan ESG sebagai aspek penting dalam panduan membuat keputusan pelaburan,” ujarnya.

Sharbini yang merupakan ahli Lembaga Persatuan Tenaga Hidro Antarabangsa turut menyentuh mengenai perkongsian SEB dengan persatuan kelestarian antarabangsa dalam memberi panduan melaksanakan amalan kelestarian.

Sharbini disertai Ketua Pegawai Kewangan Alexander Chin dan Naib Presiden Eksekutif, Strategi dan Pembangunan Korporat Ting Ching Zung dalam sesi itu.

Turut hadir Naib Presiden Hidro SEB Polycarp Wong dan Pengurus Kanan Kelestarian Mohamad Irwan Aman.

Sesi Investors Townhall itu juga menampilkan persembahan sape oleh Warisan Sape Telang Usan, sebuah rombongan kebudayaan yang dibentuk secara tidak langsung hasil daripada pelaburan SEB dalam warisan budaya asli Sarawak.

Advertisement