Anda di sini

Royal Brunei Airlines perkenal laluan baharu ke Beijing

Advertisement
 Jadual penerbangan Royal Brunei Airlines dari Brunei ke Beijing dan sebaliknya.
LALUAN BAHARU: Jadual penerbangan Royal Brunei Airlines dari Brunei ke Beijing dan sebaliknya.

MIRI: Dalam usaha untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan dan hubungan antara kedua-dua negara, Royal Brunei Airlines (RB) telah mengambil inisiatif dengan melancarkan laluan baharu ke Beijing dan mengumumkan penerbangan bermula dari 27 Oktober 2019.

RB adalah salah satu yang pertama dari beberapa syarikat penerbangan antarabangsa terpilih untuk beroperasi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing (PKX) di Beijing.

Dalam kenyataan medianya, RB memberitahu bahawa penerbangan empat kali seminggu ke Beijing adalah sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan jejaknya di China, sumber pasaran pelancongan nombor satu untuk Brunei.

Di samping kehadirannya yang kukuh di Shanghai dan Hong Kong, RB telah memperkenalkan penerbangan ke Haikou, Nanning, Hangzhou dan Changsha.

Syarikat penerbangan kebangsaan Brunei tersebut merancang untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke Beijing (Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing) setiap hari mulai 14 Januari 2020.

Dengan pernerbangan ke Beijing, RB akan berkhidmat di sembilan bandar Asia Utara berbanding dua tidak lama dahulu.

Ketua Pegawai Eksekutif  RB Karam Chand berkata: “Kami gembira kerana dapat menghubungkan Brunei dengan Beijing. Sebagai syarikat penerbangan nasional Brunei, pengenalan penerbangan ke Beijing menyokong pembangunan rangkaian penerbangan dan membina hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara.”

Tambah Chand lagi perkhidmatan baharu ini akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan dan perdagangan antara China dan Brunei.

“Pasaran China pada dasarnya telah berubah sejak kebelakangan ini dengan penambahan dalam jumlah pelancong ke Brunei. Kami telah melakukan usaha yang signifikan dengan melancarkan laman web bahasa Cina dan memperkenalkan kedua-dua AliPay dan WeChat sebagai platform pembayaran untuk para tetamu kami yang seterusnya akan memastikan tempahan tiket berjalan lebih lancar,” tambah Chand.

RB akan menggunakan pesawat A320 Neo ke Beijing bermula dari 27 Oktober 2019.

Tiket penerbangan boleh dibeli daripada ejen perjalanan pilihan RB atau melalui pusat panggilan Royal Brunei Airlines di talian: +673 2212222 atau melalui laman sesawang di www.flyrb.com atau www.flyrb.cn.

  • oleh
  • Advertisement