Anda di sini

Reman empat hari ke atas kru kapal bergurau ada bom dalam bagasi

Advertisement

MIRI: Seorang kru kapal yang bergurau dengan memberitahu kakitangan sebuah syarikat penerbangan ada membawa bom di dalam bagasinya diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman empat hari.

Suspek, 28, dari Kampung Delek Kanan, Klang, Sela-ngor diperintahkan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut keterangan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Firdaus Hanafiah Zulkifley ketika mengemukakan permohonan reman memberitahu suspek telah ditangkap sekitar jam 8.30 pagi, 19 September lalu di Balai Polis Lapangan Terbang Miri.

Tangkapan ke atasnya dibuat kerana disyaki me-lakukan ugutan jenayah setelah memberitahu ada membawa bom di dalam bagasinya.

Terdahulu menurut Fir-daus, sekitar jam 8.10 pagi hari sama di kaunter daftar masuk penumpang untuk penerbangan ke Kuala Lumpur, seorang kakitangan syarikat penerbangan tambang murah telah bertanya kepada seorang penumpang sama ada beliau ada membawa bank kuasa (power bank).

Namun, seorang lelaki lain yang merupakan rakan kepada penumpang terbabit menjawab tiada membawa bank kuasa namun ada membawa bom.

Kakitangan terbabit telah mengulangi pertanyaannya sebanyak tiga kali dan lelaki yang sama masih memberitahu ada bom.

Bimbang akan keselamatan, kakitangan syarikat pe-nerbangan terbabit kemudian menghubungi anggota keselamatan syarikat mereka untuk meminta bantuan.

Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Lapangan Terbang untuk diperiksa lanjut dan kemudian ditahan.

Dalam permohonan lanjutnya, Firdaus berkata tempoh reman empat hari ke atas suspek amat diperlukan untuk membolehkan mereka merujuknya ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri dan merujuk kes kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Majistret Md. Syafique Md. Hilmie membenarkan reman empat hari ke atas suspek sehingga 23 September ini.

Advertisement