Anda di sini

Kebangkitan Chiara Ferragni sebagai ‘influencer’ fesyen

Advertisement
 Ferragni bersama suaminya Fedez. — Gambar Reuters
BAHAGIA: Ferragni bersama suaminya Fedez. — Gambar Reuters

BARISAN paling panjang di Festival Filem Venice baru-baru ini bukanlah untuk melihat bintang Hollywood seperti Brad Pitt atau Scarlett Johansson.

Sebaliknya peminat paling histeria adalah mereka yang memenuhi Lido dengan mengimpikan swafoto bersama Chiara Ferragni, ‘influencer’ fesyen dan telah menjadi kaya dengan menjual pakaian serta gaya hidup ‘anda boleh memiliki segalanya’ di Instagram.

Sementara pelakon pujaan ramai Timothee Chalamet menandatangani autograf selama 20 minit sebelum tayangan perdana bagi filemnya ‘The King’, malah mencium tatu ‘Call Me By Your Name’ seorang wanita bertuah, jumlah orang tidak setanding dengan mereka yang tertarik kepada Ferragni.

Ratusan terpaksa dihalau daripada tayangan sebuah dokumentari Amazon Prime yang baharu, ‘Chiara Ferragni - Unposted’, tentang kebangkitannya yang menakjubkan.

“Anda tidak akan faham kenapa kami menyayanginya,” kata Angela Fozzi, 24, yang telah melakukan perjalanan jauh dari Milan untuk melihat wanita itu dan menunggu di luar pawagam sehingga jam 1.00 pagi dengan harapan untuk mendapat peluang berjumpa dengannya.

“Dia adalah contoh paling hebat bagi kaum wanita di dunia,” kata juruwang pasaraya itu kepada AFP, tangannya menggigil dengan emosi.

“Dia melakukan segalanya bersendirian. Apa yang dia miliki adalah telefon pintarnya dan keazaman. Dia adalah inspirasi bagi kaum wanita dan kami begitu bangga kerana dia berbangsa Itali,” tambahnya.

- Air mata dalam Instagram -

Ferragni memberitahu peminat yang menjerit bahawa ini “adalah antara hari paling hebat dalam hidup saya” ketika dia muncul seketika di atas pentas, sebelum satu tayangan perdana, dengan memakai gaun busana anggun Dior berwarna hitam ciptaan rakannya yang juga warga Itali, Maria Grazia Chiuri – yang turut mereka bentuk baju kahwinnya pada tahun lepas.

Terdahulu wanita berambut perang yang tinggi menawan itu telah memaparkan video dirinya yang menangis teresak-esak ketika menonton filem berkenaan untuk pengikut Instagramnya seramai 17.2 juta orang.

Tarikan Ferragni sedemikian rupa sehinggakan perkahwinannya selama tiga hari yang begitu mewah di Sicily, di mana dia berkahwin dengan penyanyi rap dari Itali, Fedez, dilaporkan mendapat liputan yang lebih hebat dalam talian berbanding perkahwinan diraja Britain antara Putera Harry dengan aktres Amerika, Meghan Markle.

Penyanyi yang penuh dengan tatu itu melamar Ferragni di atas pentas di Verona dengan cincin berlian solitaire yang besar sementara ribuan peminatnya mengangkat kad-kad berbentuk hati.

Dalam filem berkenaan, pemain fesyen utama termasuk Delphine Arnault dari LVMH dan Jeremy Scott dari Moschino berbaris untuk meuar-uarkan bagaimana ‘influencer’ hebat itu telah mendemokrasikan fesyen dan menolak ‘pembenci’ yang pada satu ketika turut termasuk ramai golongan atasan dunia stail.

- ‘Anda tidak memerlukan seorang lelaki’ -

Dengan lebih 17 juta pengikut dalam Instagram dan jenama fesyennya sendiri yang bernilai AS$40 juta, Ferragni tidak dapat lagi ditepis sebagai kejayaan kilat.

Kisah ‘influencer’ atau pempengaruh yang merintis jalan itu telah menjadi contoh Harvard Business School bagi bagaimana kemasyhuran media sosial dapat mengaut keuntungan, dengan jenama yang membayarnya untuk mengendos produk mereka.

Seorang ahli akademik Amerika dalam dokumentari berkenaan malah memujinya kerana “mencipta semula penceritaan dengan mengeluarkan konflik” untuk menetapkan templat bagi estetika “kehidupan sempurna” dalam Instagram.

Ibunya yang mengambil berat tentang fesyen memberitahu pembuat filem itu bahawa anak perempuan doktor pergigian itu tidak pernah berminat dengan kuasa dan “hanya mahu disayangi sahaja”.

Peminat di Venice memberitahu AFP, ia adalah sifat realistiknya yang paling menarik mereka walaupun dia menjelajah dunia secara kelas pertama dengan memakai baju pereka terkemuka.

“Saya tidak peduli berapa kayanya dia,” kata pelajar kesenian berusia 19 tahun Maria, yang berpakaian secantik-cantiknya untuk tayangan perdana itu.

“Hakikat bahawa dia telah melakukannya bermakna saya mungkin juga dapat melakukannya.”

Namun Ferragni tidak akan bertukar arah dalam masa terdekat.

Dalam filem itu, dia kelihatan mendengar nasihat daripada pereka veteran Diane von Furstenberg tentang bagaimana untuk kekal di landasan.

Sudah berusia 32 tahun, Ferragni merupakan sebahagian daripada sejarah media sosial, selepas mengasaskan blog Blonde Salad pada 2009, yang mengaitkan rupanya yang sama dengan patung Barbie yang bernafas dan hidup, tetapi patung yang memiliki otak perniagaan yang pintar.

Dan kita melihat imbasan sisinya yang kental apabila dia menuduh bekas teman lelaki dan rakan niaganya Riccardo Pozzoli melakukan pengkhianatan dan cuba melemahkannya ketika dia hendak melahirkan anak lelakinya Leone pada tahun lepas.

Dalam satu seruan kepada pengikutnya, dia berkata, “Anda boleh melakukannya bersendirian ... anda tidak memerlukan seorang lelaki.” — AFP

Advertisement