Anda di sini

Harta lebih RM6 juta disita

Advertisement
 Kenderaan milik ahli-ahli koperasi yang disita kerana disyaki diperolehi daripada sumber kegiatan haram.
SITA: Kenderaan milik ahli-ahli koperasi yang disita kerana disyaki diperolehi daripada sumber kegiatan haram.
 Antara barang yang disita.
PELBAGAI: Antara barang yang disita.

KUCHING: Polis menyita harta bernilai RM6,182,355.51 daripada ahli-ahli sebuah koperasi berdaftar di sini sejak 22 Ogos lalu kerana dipercayai menyalah guna dana kerajaan.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman SAC Datuk Khalil Azlan Chik berkata, koperasi terbabit dilantik menerima dana kerajaan untuk melaksanakan Program Pemodenan Bengkel Baik Pulih (ATOM) dan Program Pemodenan Kedai Runcit (TUKAR) di negeri ini bernilai RM7.5 juta.

Menurutnya, dana tersebut disalurkan secara berperingkat dari 2012 hingga Disember 2017 dan RM3.4 juta daripada jumlah tersebut disyaki telah disalah guna.

“Siasatan dimulakan pada 21 September 2018 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan pada 26 Jun lepas, siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 telah dijalankan.

“Susulan itu, tiga suspek utama iaitu pengerusi, setiausaha dan bandahari koperasi bersama 57 individu (ahli) serta lapan entiti (syarikat) yang disyaki terlibat telah disiasat dan tindakan pembekuan serta penyitaan ke atas harta-harta milik mereka telah dilaksanakan,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Khalil memberitahu pada 22 Ogos lepas, pihaknya bersama JSJK Sarawak telah menyerbu enam rumah milik suspek yang terletak di sekitar bandar raya ini dan bertindak menyita harta-harta milik suspek yang dipercayai diperolehi daripada sumber kegiatan haram.

Jelasnya, 71 akaun bank telah dibekukan dengan jumlah wang RM2,953,705, manakala 16 kenderaan pelbagai jenis bernilai RM763,000 disita.

“Selain itu, polis turut menyita hartanah dengan anggaran nilai RM2,375,000 dan barang-barang perhiasan serta wang tunai (RM90,650) dengan jumlah keseluruhan pembekuan dan sitaan harta-harta adalah sebanyak RM6,182,355.51,” katanya.

Sementara itu, Ketua JSJK Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani berkata belum ada tangkapan dibuat setakat ini dan kesemua suspek hanya dipanggil untuk memberi keterangan.

“Siasatan masih dijalankan dan kita telah memanggil beberapa suspek yang berusia sekitar 25 tahun hingga 50-an untuk memberi keterangan.

“Untuk makluman, suspek-suspek merupakan ahli perniagaan dan bukan orang kenamaan atau ahli politik,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement