Anda di sini

Suspek ketiga diberkas

Advertisement
 Suspek (tidak berbaju) akhirnya berjaya ditangkap polis selepas beberapa bulan menjadi buruan polis.
GAGAL BOLOS: Suspek (tidak berbaju) akhirnya berjaya ditangkap polis selepas beberapa bulan menjadi buruan polis.

MIRI: Suspek ketiga yang menjadi buruan polis kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun berkumpulan bersenjata api di Taman Serene Jelita, Taman Tunku pada 16 Mei lalu berjaya ditangkap di sebuah rumah di Pujut Corner di sini, awal pagi semalam.

Suspek berusia 37 tahun itu ditangkap sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri kira-kira jam 5.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, polis turut menangkap seorang wanita tempatan berusia 22 tahun serta merampas beberapa barang kes.

“Antara barang yang dirampas ialah sebuah beg kain, sebuah bungkusan pos, beberapa bungkusan dadah disyaki syabu, sebuah beg kecil, sebilah pisau badik berukuran lebih kurang 40 sentimeter termasuk sarung, sebutir mercun bawang dan sebuah dompet warna hitam.

“Turut dirampas sekeping kad pengenalan suspek, lesen memandu suspek, kad perakuan memeluk agama Islam suspek, tiga unit telefon bimbit, sebuah alat penimbang digital dan sebilah pedang samurai berukuran lebih kurang 88 sentimeter termasuk sarung,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Lim berkata, suspek lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau iaitu pernah ditangkap mengikut Seksyen 379A, Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, suspek turut menjadi buruan polis dan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Dengan tertangkapnya suspek ini, maka ketiga-tiga suspek yang terlibat dalam kes samun berkumpulan bersenjata api dan menembak anggota kereta peronda polis (MPV) telah pun ditangkap.

“Dua suspek yang ditangkap sebelum ini telah dituduh dan ditahan reman sementara menunggu perbicaraan,” ujar beliau.

Suspek terbabit disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1953.

Sementara itu, dalam kejadian sekitar jam 1.30 petang pada 16 Mei lalu, tiga suspek lelaki bertopeng telah melakukan samun bersenjata api di sebuah rumah di Taman Serene Jelita, Taman Tunku dengan merempuh pagar rumah ketika mangsa baru pulang mengambil anak dari tadika.

Kejadian rompakan terbabit menyebabkan seorang anggota polis, William Bell, 55, cedera di lengan kiri dalam kejadian berbalas tembakan dengan penjenayah di rumah tersebut.

  • oleh
  • Advertisement