Anda di sini

Sebutan semula kes letupan gas CityONE 24 September, 8 Oktober

Advertisement

KUCHING: Insiden letupan gas di CityONE Megamall yang berlaku pada awal Disember tahun lalu dibawa ke dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini semalam untuk sebutan kali pertama kes.

Dua syarikat sepatutnya didakwa semalam, namun kes terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain berikutan terdapat masalah dengan pertuduhan yang dikemukakan.

Pertuduhan sepatutnya dibacakan terhadap pengarah syarikat Cityone Mc Sdn Bhd, namun Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad serta tertuduh gagal memahami inti pati pertuduhan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa (PO) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Sekiranya pertuduhan yang dikemukakan tidak jelas, tertuduh tidak akan berupaya untuk memahami lumrah ataupun inti pati bagi pertuduhan tersebut.

“Maka, pertuduhan pada hari ini (semalam) akan dibacakan sebagai sebagai pertuduhan tentatif dan tiada pengakuan akan direkodkan daripada tertuduh,” ujar beliau sambil memberikan arahan kepada PO untuk menyediakan pertuduhan baharu yang lebih jelas dan terperinci.

Hakim Dayang Ellyn kemudian menetapkan tarikh 24 September depan sebagai tarikh sebut semula kes.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan, syarikat kontraktor utama iaitu Borneo Landmark (M) Sdn Bhd juga sepatutnya didakwa kelmarin bagi insiden sama.

Bagaimanapun, Hakim Marutin Pagan menetapkan kes disebut semula pada 8 Oktober depan, sementara menunggu pertuduhan baharu.

Peguam J.B Singh dan Alvin Yong yang mewakili pengarah syarikat Cityone Mc Sdn Bhd dan Borneo Landmark (M) Sdn Bhd juga gagal memahami pertuduhan yang dikemukakan.

Menurutnya, pertuduhan hanya dikemukakan di bawah Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, namun, di bawah seksyen tersebut terdapat pelbagai subpara yang mendukungnya.

“PO tidak menyatakan secara spesifik subseksyen bagi dakwaan tersebut,” kata J.B Singh.

Dua kes lain terhadap subkontraktor dan syarikat elektrikal juga bakal dikemukakan di Mahkamah Sesyen pada 23 September depan bagi insiden letupan gas itu.

Dalam insiden pada 4 Disember tahun lepas, tiga terkorban dan 41 cedera termasuk empat cedera parah dalam kejadian letupan gas di CityONE Megamall di sini sekitar jam 3.30 petang.

Insiden letupan berlaku akibat kebocoran gas ketika menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian sebelum sebuah rantaian makanan segera dibuka secara rasmi.

Dalam kejadian itu, tiga maut dikenal pasti O Kui Lim, 49, dari Batu Kawa, Tchee Kiam Jong, 24 (Stutong) dan Chin Hsien Loong, 29 dari Butterworth, Pulau Pinang.

Manakala, 44 lagi cedera termasuk seorang pekerja binaan warganegara Indonesia berusia 29 tahun.

Advertisement