Anda di sini

Sarawak ambil semua langkah segera tangani jerebu, air di Sri Aman

Advertisement
Tangki berkapasiti 1,500 liter baharu dikeluarkan dari pesawat Hercules C130 milik TUDM pada jam 11.15 pagi untuk diisi dengan bancuhan air garam untuk Operasi Pembenihan Awan.
Kerja-kerja pembancuhan garam sebanyak 200kg ke dalam 1,200 liter air dijalankan.

KUCHING:Kerajaan negeri sedang mengambil semua langkah perlu bagi menangani masalah jerebu dan kekurangan bekalan air dalam kadar segera bagi kawasan Sri Aman.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata semua jentera dan agensi telah digerakkan dalam usaha bagi mengurangkan permasalahan yang dihadapi penduduk di dalam kawasan tersebut.

"Selain daripada menghadapi jerebu penduduk di Sri Aman juga menghadapi masalah air namun beberapa agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), Polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), tentera dan Agensi Pertahanan Awam telah digerakkan untuk membantu keadaan di sana.

"Di Sri Aman terdapat beberapa titik panas, dan kita sudah menggerak lima jengkaut untuk membantu pihak Bomba mengatasi masalah kebakaran belukar.

"Semalam pesawat APM datang dari Miri dan cuba membatu di Sri Aman tetapi mengalami masalah kekurangan bekalan air," katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerja untuk Operasi Pembenihan Awan di Lapangan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) disini, pagi tadi.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata sehubungan itu kerajaan akan mengambil langkah yang sewajarnya bagi menyelesaikan isu air di kawasan terbabit.

Mengenai operasi pembenihan awan Uggah berkata, ia bermula hari ini sehingga 22 September menggunakan pesawat Hercules C130  milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) yang akan melaksanakan operasi di beberapa tempat tumpuan negeri ini.

Operasi berkenaan akan dijalankan secara berperingkat  bermula dari Kuching ke Samarahan dan seterusnya ,Serian,Sri Aman,Betong, Saratok, Sarikei, Kanowit, Sibu, Mukah,Sematan dan Bau.

Pembancuhan garam untuk Operasi Pembenihan Awan bermula sekitar jam 11.30 pagi  sejurus tiba pesawat Hercules C130  milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dari ibu negara.

Hadir sama, timbalan pengarah Jabatan Meteorologi Sarawak Siniarovina Urban Sinyaw dan ketua Sekretariat JPBN Sarawak Mejar Ismail Mahedin.
 

  • oleh
  • Advertisement