Anda di sini

Peluntur boleh digunakan untuk hapuskan DNA: Ahli kimia

 Wong Zing Haw ketika menuju ke bilik tahanan Mahkamah Kuching.
DIBICARA: Wong Zing Haw ketika menuju ke bilik tahanan Mahkamah Kuching.

KUCHING: Bahan peluntur boleh digunakan untuk menghapuskan bukti DNA, demikian menurut seorang ahli kimia, Hazalinawati Zailani, 38.

Beliau merupakan salah seorang daripada 20 saksi yang dipanggil pihak pendakwaan untuk memberikan keterangan dalam perbicaraan kes seorang ahli farmasi yang didakwa atas tuduhan membunuh isterinya pada Mac tahun lalu.

“Produk peluntur boleh digunakan untuk membersihkan DNA, tetapi jika mahukan pengesahan semula, perlu bertanya kepada yang lebih profesional,” ujar beliau ketika memberi keterangan di kandang saksi di Mahkamah Tinggi sini, semalam.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan sekiranya satu daripada bahan bukti dalam kes tersebut iaitu peluntur digunakan untuk membersihkan DNA.

Menurut ahli kimia itu lagi, peluntur mempunyai bahan ‘hypochlorite’ yang boleh dijumpai dalam produk seharian.

Namun menurut pihak pendakwaan, adalah luar biasa bagi orang awam untuk memiliki produk pembersihan dalam kuantiti yang banyak.

Tiga botol besar peluntur, sebotol besar produk pembersih biorosot, pisau dan gergaji merupakan antara bahan bukti yang dikemukakan di mahkamah semasa perbicaraan berlangsung semalam.

Perbicaraan kes setakat ini menampilkan sebanyak 65 bahan bukti dikemukakan di hadapan Hakim Azhahari Kamal Ramli.

Pada 3 Mac tahun lalu, hanya kepala Yang Xi, 31, dijumpai terdampar di tebing Batang Lupar, Jalan Skait Lama.

Bahagian badan mangsa yang hilang belum dijumpai sehingga kini.

Selepas mayat tersebut dicam polis, Wong Zing Haw, 43, dipanggil ke balai dan ditahan serta-merta selepas timbul keraguan dalam kenyataannya yang tidak konsisten mengenai kehilangan isterinya.

Seterusnya, Wong yang mempunyai sebuah kedai farmasi di bandar raya ini didakwa membunuh isterinya, seorang warga China antara 25 Februari lalu sekitar jam 9.30 malam dan 3 Mac sekitar jam 4.30 petang.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di Lot 1530, Blok 3, Simanggang Town Land District.

Wong didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Musli Abdul Hamid, manakala Wong diwakili peguam Muhammad Fairuz Masri dan Jubilant Austinway.