Anda di sini

Koperasi disyaki terlibat pengubahan wang haram disiasat, hampir RM6.2 juta harta milik ahli disita

Advertisement
Antara barang-barang yang disita
Kenderaan milik ahli-ahli koperasi yang disita kerana disyaki diperolehi daripada sumber kegiatan haram.

KUCHING: Polis di bawah Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) berjaya menyita harta milik ahli-ahli sebuah koperasi yang berdaftar di sini bernilai mencecah RM6,182,355.51 sejak 22 Ogos lalu.

Ketua Pasukan Siasatan, SAC Dato Khalil Azlan Chik berkata laporan dan risikan yang dibuat mengesyaki koperasi terbabit dilantik menerima dana kerajaan bagi menjalankan Program Permodenan Bengkel Baik Pulih (ATOM) dan Program Permodenan Kedai Runcit (TUKAR) di negeri ini berjumlah RM7.5 juta.

Menurutnya, dana tersebut disalurkan secara berperingkat sejak 2012 hingga Disember 2017 dan disyaki RM3.4 juta daripada jumlah tersebut telah disalahguna.

"Siasatan dimulakan sejak 21 September 2018 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan pada 26 Jun lepas, siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 telah dijalankan.

"Susulan itu, tiga suspek utama iaitu pengerusi, setiausaha dan bandahari koperasi bersama 57 individu (ahli) serta lapan entiti (syarikat) yang disyaki terlibat telah disiasat dan tindakan pembekuan serta penyitaan ke atas harta-harta milik mereka telah dilaksanakan," katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Khalil turut memberitahu pada 22 Ogos baru-baru ini pihaknya bersama JSJK Sarawak telah menyerbu enam rumah milik suspek yang terletak di sekitar bandaraya ini dan bertindak menyita harta-harta milik suspek yang dipercayai diperolehi daripada sumber kegiatan haram.

Jelasnya, 71 akaun bank telah dibekukan dengan jumlah wang RM2,953,705, 16 buah kenderaan pelbagai jenis bernilai RM763,000 disita.

"Selain itu, polis turut menyita hartanah dengan anggaran nilai RM2,375,000 dan barang-barang perhiasan serta wang tunai (RM90,650) dengan jumlah keseluruhan pembekuan dan sitaan harta-harta adalah sebanyak RM6,182,355.51," katanya.

Sementara itu, Ketua JSJK Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani berkata belum ada tangkapan dibuat setakat ini dan kesemua suspek hanya dipanggil untuk memberi keterangan.

"Siasatan masih dijalankan dan kita telah memanggil beberapa suspek yang berusia sekitar 25 hingga 50an untuk memberi keterangan.

"Untuk makluman, suspek-suspek merupakan ahli perniagaan dan bukan orang kenamaan atau ahli politik," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement