Anda di sini

Konsert Judika Bersama MPO di DFP tampilkan Jaclyn Victor

Advertisement
 

PENYANYI terkemuka dari Indonesia Judika bakal mengadakan konsert di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra, MPO) pada 19 dan 20 Oktober depan.

Konsert ini adalah kolaborasi antara DFP dan Kelab Sukan Dan Rekreasi PETRONAS (KSRP). Judika merupakan artis Indonesia kedua yang mengadakan konsert solo di dewan berprestij ini selepas Ruth Sahanaya yang mempersembahkan konsert solo pada tahun 2018.

Konsert ini bakal menyaksikan beliau memasuki senarai artis antarabangsa yang telah membuat persembahan di dewan yang terkenal dengan tahap akustika yang tinggi itu; mereka adalah Laura Fygi, Harry Connick Jr., Chris Botti, Diana Krall, Anoushka Shankar dan Larry Carlton, dan artis tempatan seperti Sheila Majid, Ella, Siti Nurhaliza, Yuna, Misha Omar dan Dayang Nurfaizah.

Konsert ini sejajar dengan matlamat DFP untuk menampilkan artis yang membawakan konsep nuansa muzik yang berlainan untuk menarik khalayak penonton yang berbeza.

Lahir pada tahun 1978, Judika mencipta nama sebagai penyanyi setelah menduduki tempat kedua dalam beberapa pertandingan nyanyian seperti Asia Bagus (1998) dan Indonesian Idol (2005).

Bersama kumpulan acapella, Antero Boys, beliau memenangi anugerah ‘Cerbul de aur song Festival Rumania’ pada tahun 2000. Beliau mengeluarkan album perdana bertajuk Onepada tahun 2007. Sehingga kini, beliau telah melahirkan enam album solo dan dua album kompilasi.

Judika mempunyai senarai lagu-lagu hit seperti Bukan Dia Tapi Aku, Cinta Satukan Kita, Aku Yang Tersakiti, Sampai Kau Jadi Milikkudan Jikalau Kau Cintayang kesemuanya mendapat penghargaan di anugerah berprestij seperti Anugerah Muzik Indonesia dan Anugerah Planet Muzik.

Pada tahun 2011, beliau menjadi vokalis kumpulan Mahadewa yang diterajui Ahmad Dhani sebelum meninggalkan kumpulan itu pada tahun 2014.

Selain dari nyanyian, Judika juga merupakan seorang pelakon yang telah membintangi 5 filem cereka.  

Diakui sebagai salah seorang vokalis lelaki terbaik Indonesia, Judika merupakan seorang penghibur yang kerap menjayakan konsert yang mendapat sambutan hangat; konsert terakhir beliau di Kuala Lumpur ialah pada 2017.

Konsert Judika di DFP akan menyaksikan lagu-lagu beliau dipersembahkan dalam gubahan orkestra oleh MPO.

Di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose, konsert ini akan menampilkan vokalis hebat negara, Jaclyn Victor sebagai artis undangan.

Konsert ini akan menyerlahkan lagi versatiliti MPO dalam mengalunkan bukan hanya genre muzik klasikal Barat tetapi juga pop, jazz dan R&B.

Pembelian pakej tiket boleh dilakukan menerusi kaunter Box Office atau layari www.mpo.com.my.

Advertisement