Anda di sini

Amang seksual anak sendiri, tukang paip kena lima tahun dan sebat

Advertisement

SIBU: Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman lima tahun penjara dan satu sebatan terhadap seorang tukang paip atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak sendiri.

Hakim Caroline Bee Majanil yang menerima pengakuan bersalah tertuduh, Yii Hee kiong, 39, memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula daripada tarikh dia ditahan iaitu 11 September lepas.  

Mengikut pertuduhan, Yii didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang berumur 17 tahun dua bulan dengan meraba buah dada dan punggung mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 September, 2019 kira-kira jam 5.30 petang di sebuah bilik di Jalan Ting Sing, Sungai Bidut.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a), Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebatan.

Berdasarkan fakta kes, pada 8 September 2019, kira-kira jam 5.30 petang, pengadu yang juga mangsa sedang tidur di biliknya apabila tertuduh tiba-tiba masuk ke dalam bilik lalu memeluk mangsa.

Pada masa sama, tertuduh bertindak menyentuh dan meraba buah dada dan punggung mangsa.

Tersentak dengan kejadian itu, mangsa bertindak menolak tertuduh sebelum berlari keluar dari bilik.

Bimbang perkara sama berulang, mangsa bertindak membuat laporan polis dan tertuduh ditahan polis pada 11 September 2019.

Dalam rayuannya tertuduh memberitahu, ketika kejadian dia dalam keadaan mabuk dan kini sudah menyesal dengan perbuatannya.

Tertuduh turut memberitahu telah berkahwin serta mempunyai dua anak, manakala isterinya menghidap darah tinggi dan diabetes.

Advertisement