Anda di sini

26 murid, 2 guru terbunuh dalam kebakaran sekolah tahfiz di Liberia

Advertisement
 Jenazah murid dan guru yang sudah siap dikafankan untuk upacara pengebumian selepas mereka maut dalam kebakaran di sekolah tahfiz di Monrovia, Liberia kelmarin. — Gambar AFP
PILU: Jenazah murid dan guru yang sudah siap dikafankan untuk upacara pengebumian selepas mereka maut dalam kebakaran di sekolah tahfiz di Monrovia, Liberia kelmarin. — Gambar AFP

MONROVIA: Kebakaran besar di sebuah sekolah tahfiz di Liberia mengorbankan sekurang-kurangnya 26 murid dan dua guru kelmarin apabila api memusnahkan asrama mereka dalam salah satu bencana terburuk seumpamanya di negara Afrika Barat itu.

Budak-budak lelaki itu sedang tidur di sekolah tersebut ketika kebakaran berlaku, kata jurucakap polis Moses Carter, dan menambah kerosakan elektrik dipercayai adalah punca kebakaran.

Presiden George Weah melawat tempat kejadian di Paynesville, di pinggir ibu negara Monrovia, dan berkata punca nahas itu masih belum diketahui.

“Kita di sini untuk menggalakkan ibu bapa mangsa untuk menguatkan diri, kerana ia adalah memeritkan untuk kehilangan anak kita dalam keadaan ini,” kata Weah kepada pemberita di tempat kejadian.

Pejabat presiden berkata 26 murid antara umur 10 hingga 20 tahun maut bersama dua guru.

Jurucakap polis pula mendakwa 27 murid ter-korban.

Pada petang kelmarin, presiden negara jiran Guinea, Alpha Conde, berkata beberapa warga negaranya maut dalam kebakaran itu.

Dalam satu kenyataan, beliau menyuarakan “emosi yang mendalam” berhubung kematian yang berlaku dan menyampaikan “ucapan takziah paling mendalam kepada rakyat Liberia dan masyarakat Guinea di Liberia” sambil menambah beliau mengikuti siasatan dengan dekat.

“Kami menyampaikan simpati kami kepada keluarga yang kehilangan. Kita belum tahu punca kebakaran tetapi kita akan menggalakkan penyiasat kami untuk mengetahui bagaimana ia berlaku,” tambahnya.

Penyelamat yang memakai penutup hidung putih dan sarung tangan bedah membawa mayat budak berkenaan dalam beg dari bangunan yang rentung sementara orang ramai dan saudara-mara berkerumun di luar bangunan.

“Pasukan kami sedang menyiasat punca kebakaran,” kata jurucakap polis berkenaan.

“Ia mungkin ada kaitan dengan elektrik,” tambahnya tetapi enggan menolak kemungkinan bahawa kebakaran itu adalah satu perbuatan jenayah.

“Saya sedang tidur apabila saya terdengar bunyi bising di luar. Isteri saya membuka pintu belakang dan kami melihat asap datang dari depan. Kami keluar dan melihat kebakaran di belakang,” kata Zazay Ballah, yang memberitahu mereka telah membantu dalam usaha menyelamat.

“Kami mencari air, untuk cuba memadamkannya. Apabila anggota bomba tiba, kebakaran sudah semakin reda.”

Mangsa dikebumikan de-ngan cepat dalam satu upa-cara kolektif, selari dengan tradisi Islam.

Dalam satu tweet terdahulu, Weah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang terjejas.

“Doa saya mengiringi keluarga kanak-kanak yang maut semalam di Paynesville City disebabkan oleh kebakaran besar yang memusnahkan bangunan sekolah mereka,” beliau menulis.

“Ini adalah masa yang sukar bagi keluarga mangsa dan seluruh Liberia.”

Pihak berkuasa Liberia sudah terlalu biasa dengan kebakaran besar, selalunya disebabkan oleh penjana kuasa yang rosak, tetapi “tidak pada skala ini”, kata jurucakap presiden itu.

Majoriti rakyat Liberia adalah Kristian tetapi terdapat masyarakat minoriti Muslim yang agak besar di kalangan 4.5 juta penduduknya.

Liberia merupakan salah sebuah negara paling mundur di dunia, dan sejarah modennya dicemari perang saudara dan virus Ebola yang menyebabkan kematian. — AFP

Advertisement