Anda di sini

UMS perkukuh kerjasama strategik bersama syarikat luar negara

Advertisement
 Taufiq (tujuh kanan) bersama rombongan UMS mengambil gambar kenangan dengan pihak OCT selepas mengadakan perbincangan.
KENANGAN: Taufiq (tujuh kanan) bersama rombongan UMS mengambil gambar kenangan dengan pihak OCT selepas mengadakan perbincangan.

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengukuhkan jalinan kerjasama dengan pihak industri dalam memantapkan keupayaannya sebagai sebuah institusi pendidikan yang berinovatif dan relevan.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, usaha itu bukan hanya tertumpu di dalam negara sahaja tetapi turut diperluas kepada syarikat-syarikat di peringkat global.

“Untuk itu, pada 11 sehingga 14 September lalu, UMS telah mengadakan lawatan kerja ke Overseas Chinese Town (OCT), sebuah syarikat gergasi milik kerajaan China yang berpangkalan di Bandar Shenzen dan Hainan, bagi membincangkan jalinan kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada kedua belah pihak.

“Pada asasnya, pihak OCT sangat mengalu-alukan hasrat kerjasama ini yang menyaksikan intipati perbincangan lebih menjurus kepada kerjasama akademik termasuk peluang latihan industri pelajar UMS di syarikat yang berpengalaman luas dalam industri taman tema serta pembangunan bandar pintar temasuk resort dan hartanah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, kehadirannya bersama rombongan UMS ke China juga bagi menyampaikan hasrat kepada ibu pejabat syarikat Huawei Technologies Co. Ltd. untuk meneruskan kerjasama yang sudah terjalin erat sebelum ini.

Katanya, kerjasama itu bukan sahaja perlu diteruskan tetapi diperluas kepada mana-mana ruang kolaborasi yang boleh dimanfaatkan bersama.

“Pada pertemuan itu, pihak Huawei juga telah memberikan taklimat mengenai pengalaman mereka dalam pennyediaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di beberapa hospital pintar di China.

“Kebetulan hospital pintar UMS sedang dalam fasa awal pembinaan, justeru saya melihat wujud keperluan bagi mengadakan jalinan kerjasama dengan kepakaran Huawei untuk memastikan kesiapsiagaan Hospital Pintar UMS kelak.

“Sebagai maklum balas, syarikat yang terkenal dalam menghasilkan produk teknologi canggih dan serba moden itu memaklumkan kesediaan mereka bekerjasama berdasarkan pengalaman dan keupayaan syarikat berkenaan dalam membangunkan beberapa sistem hospital pintar di China,” katanya sambil menjelaskan, ia seiring dengan hasrat UMS ke arah Smart Eco Campus 4.0.

Lawatan kerja empat hari yang diinisiatifkan oleh Pusat Jaringan Industri dan Komuniti UMS itu turut mengunjungi OCT Harbour & Wetland, Shenzen; Shenzen Tourism College Jinan University; Konka Group; Zhongliao Village, Sanya Hainan; Lu Hui Tou Park, Sanya, Hainan; dan Hainan Resort Software Community Haikou City.

  • oleh
  • Advertisement