Anda di sini

The Blues terima ‘pengajaran pahit’ dalam Liga Juara-Juara

  Rodrigo (kanan) menyaksikan bola rembatannya gagal ditepis oleh Kepa sebelum menerjah jaring untuk gol pertama Valencia pada perlawanan di Stamford Bridge, London kelmarin. — Gambar AFP
DERAS: Rodrigo (kanan) menyaksikan bola rembatannya gagal ditepis oleh Kepa sebelum menerjah jaring untuk gol pertama Valencia pada perlawanan di Stamford Bridge, London kelmarin. — Gambar AFP

LONDON, England: Pengurus Chelsea, Frank Lampard, berkata pasukannya mendapat ‘pengajaran pahit’ dalam Liga Juara-Juara selepas Valencia menamatkan satu minggu malang apabila menang 1-0 di Stamford Bridge Selasa lepas.

Chelsea menguasai bola tetapi tumpul di jentera serangan selepas kehilangan pemain tengah muda, Mason Mount pada awal permainan kerana kecederaan dan dihukum 16 minit sebelum tamat permainan apabila Rodrigo menjaringkan gol tunggal kemenangan buat pasukan dari Sepanyol itu.

Chelsea hampir mengikat kedudukan tetapi Ross Barkley gagal menyempurnakan satu tendangan penalti.

“Tanpa ragu, kami selayaknya menerima lebih baik dari ini. Mungkin satu kemenangan atau sekurang-kurangnya seri. Kami bolos dari hanya satu cubaan mereka,” kata Lampard.

“Ia pengajaran yang pahit dalam bola sepak Liga Juara-Juara, satu perlawanan yang kami harungi dengan baik tetapi tewas.

“Apa yang baiknya ialah kami mempunyai lima perlawanan untuk bangkit semula.”

Valencia tiba di London dengan masih tersentak dengan pemecatan jurulatih popular, Marcelino minggu lepas walaupun beliau membimbing kelab ke empat tangga teratas La Liga Sepanyol dan memenangi trofi Copa del Rey musim lepas.

Penyokong mendesak pemilik kelab, Peter Lim untuk meninggalkan kelab dan beberapa pemain senior secara terbuka menyuarakan rasa marah mereka dengan pemecatan Marcelino.

Valencia dibelasah 2-5 oleh Barcelona pada perlawanan pertama Albert Celades sebagai pengganti Marcelino Sabtu lepas tetapi mereka bangkit dengan bergaya walaupun bukan dengan prestasi memberangsangkan untuk menewaskan pasukan Chelsea yang ternyata kehilangan kreativiti Eden Hazard.

“Kami berasa gembira untuk menang, ia adalah sangat sukar untuk dilakukan di sini,” kata Celades.

“Pemain melakukan usaha yang banyak. Ini adalah bagaimana kami harus melangkah ke hadapan. Kami perlu kembali bercakap tentang bola sepak.”

Chelsea bermula dengan meyakinkan tetapi rentak mereka terjejas tidak lama selepas kecederaan kepada salah seorang pemain bintang mereka setakat musim ini.

Francis Coquelin bernasib baik hanya dilayangkan kad kuning ekoran terjahan keras ke atas Mount, yang terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan buku lali.

“Ia sememangnya menjejaskan permainan dan kami tahu betapa bagus beliau bermain ketika ini,” tambah Lampard.

“Beliau mengalami kecederaan buku lali. Kami tidak tahu keadaan sebenarnya sebelum menjalani pemeriksaan lanjut. Ia mengecewakan kerana beliau bermain dengan sangat baik ketika ini.”

Tanpa kreativiti Mount, Chelsea hanya bergantung kepada kelicikan Willian untuk membuka pertahanan Valencia, yang jelas bermain secara bertahan.

Willian juga gagal menyempurnakan satu cubaan dari umpanan Mateo Kovacic apabila rembatannya tersasar.

Penjaga gol Valencia, Jasper Cillessen, yang dikritik teruk kerana prestasi buruk ketika tewas kepada Barcelona, bagaimanapun beraksi tangkas untuk menepis satu lagi cubaan Willian pada minit akhir sebelum rehat.

Walaupun Chelsea tidak begitu kebal di benteng pertahanan selepas bolos 11 gol dari  lima perlawanan liga pertama, Valencia lebih gembira bermain secara bertahan dan melakukan serangan pantas jika ada peluang.

Namun mereka cukup berbahaya dari tendangan percuma dan tendangan sudut dengan cubaan Dani Parejo dari satu tendangan percuma gagal disempurnakan dengan kemas oleh Rodrigo.

Gol Valencia hadir selepas Lampard memasukkan penyerang kedua, Olivier Giroud ketika mereka memburu tiga mata penuh.

Giroud tidak bernasib baik tidak lama selepas itu ketika Chelsea mencari gol penyamaan dan mereka mempunyai satu peluang lebih baik apabila penalti diberikan selepas bola terkena tangan Daniel Wass namun Barkley hanya mampu melihat tendangannya terkena palang dan keluar dari padang dan memastikan Chelsea memulakan aksi Kumpulan H dengan buruk. — AFP