Anda di sini

Rozman mahu golongan belia ambil peranan pelihara budaya etnik tempatan

Advertisement
 Peserta Karnival Edidih Badudun Kitani bersama Rozman (tengah) dan Fauziah.
KENANGAN: Peserta Karnival Edidih Badudun Kitani bersama Rozman (tengah) dan Fauziah.

LABUAN: Warga Labuan diseru agar terus memelihara budaya dan dialek tempatan, suku kaum Kadayan Brunei.

Ia seterusnya dapat memperkenalkan adat dan warisan tempatan kepada masyarakat luar.

Justeru, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli mahu semua pihak khususnya golongan belia, sama-sama memainkan peranan memastikan budaya etnik tempatan ini kekal subur dan dikembangkan.

"Ia penting kerana budaya antara elemen penting aspek pelancongan, memandangkan Labuan berpotensi besar dalam industri pelancongan, sesuai dengan status Pusat Kewangan Luar Peisisir Antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Edidih Badudun Kitani 2019, anjuran RTM Labuan yang diadakan serentak dengan Karnival Belia sempena Sambutan Hari Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di Dataran Labuan, baru-baru ini.

“Program yang telah menyemarak dan menghidupkan serta memperkembangkan showcase budaya Kadayan Brunei ini adalah Program Edidih yang dibuat oleh RTM setiap tahun. Jadi syabas dan tahniah kepada RTM Labuan,” katanya.

Pada masa sama, Rozman berharap budaya etnik Kadayan Brunei berkembang maju supaya dapat merealisasikan Labuan sebagai sebuah pusat pelancongan di rantau ini, dengan taglinenya ‘Labuan The Pearl of Borneo’.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan Fauziah Mohd Sidek.

Kira-kira 3,000 masyarakat setempat hadir menyaksikan karnival itu yang dimeriahkan lagi dengan Konsert Edidih Labuan FM, persembahan Fauziah Gambus, kulintangan dan bamukun serta tarian kebudayaan.

Karnival berlangsung selama empat itu dikelolakan bersama Perbadanan Labuan dan Majlis Belia Labuan.

Antara pengisian acara menarik yang lain adalah Konsert Santai, Sukan Kajarangan, cabaran Kadayan Barunai, Dj Corner, sukaneka rakyat, pertandingan mewarna kreatif, auto show, busking santai dan juga aktiviti zumba, selain gerai pameran dan jualan.

Sementara itu, Fauziah mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua staf RTM Labuan yang berusaha gigih melaksanakan program tahunan itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan Karnival Edidih Badudun Kitani 2019.

Advertisement