Anda di sini

Penganggur menghadapi 12 tuduhan rompak, cabul, rogol

Advertisement
 Harsono dibawa keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Sesyen Kuantan semalam selepas dituduh 12 pertuduhan merompak, mencabul, merogol dan menyamar polis. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Harsono dibawa keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Sesyen Kuantan semalam selepas dituduh 12 pertuduhan merompak, mencabul, merogol dan menyamar polis. — Gambar Bernama

KUANTAN: Seorang penganggur dihadapkan ke dua mahkamah berasingan di sini semalam, atas 12 pertuduhan merompak, mencabul, merogol dan menyamar polis yang didakwa berlaku sekitar daerah ini, sejak Jun lalu.

Harsono Bakri, 27, mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sazlina Safie.

Tertuduh didakwa atas tujuh pertuduhan merompak tujuh orang mangsa, masing-masing satu pertuduhan atas kesalahan merogol dan mencabul dua daripada mangsa serta satu pertuduhan menyamar sebagai anggota polis.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada waktu malam hingga awal pagi, antara 16 Jun hingga 2 Ogos lalu di sekitar Kuantan iaitu di Indera Mahkota, Tanjung Lumpur, Jabor, Seri Kuantan, Alor Akar dan Sri Damai.

Bagi kesalahan merompak, tertuduh yang bertubuh tinggi dan beralamat di Batu 6 di sini didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi tuduhan merogol mangsa yang berusia 19 tahun di ladang kelapa sawit di sini pada 11 malam, 28 Jun lalu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(b) kanun sama yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan sebatan

Harsono juga didakwa mengikut Seksyen 354 kanun sama kerana didakwa mencabul mangsa berusia 20 tahun pada 15 Julai lalu, yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali manakala pendakwaan terhadap kesalahan menyamar polis dibuat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semua mangsa merupakan wanita yang berusia antara 19 hingga 31 tahun yang menunggang motosikal berseorangan dan tertuduh didakwa melarikan wang tunai, telefon pintar, dokumen peribadi dan barang kemas milik mereka.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mempertimbangkan jaminan yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Haryati Abdullah yang menawarkan jaminan hampir RM90,000 bagi semua pertuduhan.

“Saya mohon mahkamah kurangkan jaminan kerana saya tidak bekerja... saya mempunyai ibu yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU), seorang isteri dan dua orang anak,” katanya.

Sazlina membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM71,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 17 Okt ini untuk lantikan peguam.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencabul dan menyamar polis ke atas mangsa berusia 24 tahun yang didakwa berlaku pada 12.02 tengah malam, 12 Julai lalu berhampiran pusat tenun di sini.

Pada prosiding itu, tertuduh hanya mendiamkan diri apabila diminta mengemukakan rayuan terhadap permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid yang tidak menawarkan jaminan terhadap dirinya.

Nurul Farahah menetapkan sebutan semula kes pada 17 Oktober ini. — Bernama

Advertisement