Anda di sini

Pendengaran rayuan lelaki bebas tuduhan rogol anak pada 20 Sept

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 20 September ini untuk pendengaran rayuan pihak pendakwaan terhadap seorang lelaki yang dibebaskan atas tuduhan merogol anak kandungnya.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu terhadap responden yang berusia 63 tahun, setelah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak.

Responden yang diwakili peguam Datuk Lawrence Thien dilepas dan dibebaskan atas tuduhan terbabit oleh Mahkamah Sesyen pada 31 Januari tahun lalu setelah perbicaraan penuh dijalankan.

Responden didakwa merogol mangsa yang berusia 16 tahun, sekitar Mei 2017 jam 1 petang di sebuah rumah kampung di Inanam, di sini.

Hukuman yang diperuntukkan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan adalah penjara antara lapan hingga 30 tahun serta dikenakan tidak kurang 10 sebat.

Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip yang menentang keputusan Mahkamah Rendah berhujah, hakim perbicaraan menyatakan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Namun, beliau menegaskan, ketika prosiding kes pada peringkat pendakwaan, tiada bantahan daripada pihak pembelaan mengenai tempat dan masa.

Membidas kenyataan itu, Lawrence menyatakan sudah dibuktikan terdapat alibi terhadap anak guamnya, yang mana isteri responden sendiri menyatakan beliau bersama dengan suaminya.

  • oleh
  • Advertisement