Anda di sini

Liverpool jadi juara bertahan pertama tewas pada perlawanan pembukaan

Advertisement

NAPLES, Itali: Dries Mertens dan Fernando Llorente menjaringkan gol lewat ketika Napoli mengejutkan juara bertahan, Liverpool pada perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara di sini Selasa lepas.

Mertens menyempurnakan penalti minit ke-82 sebelum Llorente menambah jaringan pada minit kecederaan ketika Napoli menebus kekalahan 0-1 di Anfield musim lepas, yang menafikan peluang mereka ke pusingan kedua kejohanan.

Kekalahan untuk skuad kendalian Jurgen Klopp itu menjadikan mereka sebagai juara bertahan pertama yang tewas perlawanan pembukaan pada musim berikutnya selepas AC Milan pada 1994.

Liverpool, yang berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas lima kemenangan berturut-turut, masih kekal pasukan pilihan untuk meneruskan kemaraan bersama-sama Napoli dari Kumpulan E walaupun Salzburg menewaskan Genk 6-2 pada perlawanan lain.

“Kami tidak mempunyai saat yang positif malam ini. Berikan kami beberapa lagi perlawanan untuk mengubah kedudukan tetapi ia kelihatan Napoli akan meneruskan kemaraan,” kata Klopp, yang membayangkan kelab Serie A Itali itu akan melangkah jauh pada kejohanan ini.

“Napoli boleh memenangi pertandingan. Jika anda mempunyai pelan yang baik dan pemain yang bagus, anda tidak perlu menjadi pasukan terbaik di dunia untuk memenangi Liga Juara-Juara. Anda harus beraksi dengan baik pada masa yang betul.”

Liverpool juga tewas perlawanan pusingan pertama di Naples musim lepas sebelum bangkit bergaya dan menjulang trofi Eropah buat kali keenam.

“Untuk dapat menyamai rentak pasukan Liverpool adalah menarik sekali kerana mereka adalah pasukan terbaik di Eropah ketika ini,” kata jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti sebelum menambah: “Musim ini masih panjang, ada banyak lagi perlawanan menanti.’

Llorente menyertai Napoli musim ini selepas bermain perlawanan terakhir beliau bersama Tottenham Hotspur ketika tewas kepada Liverpool di final kejohanan ini pada bulan Jun lepas.

Beliau dimasukkan sebagai pemain gantian dan mengambil kesempatan dari kesilapan pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk selepas Mertens membuka jaringan dari tendangan penalti, sekali gus menyemarakkan lagi kegembiraan penyokong di Stadio San Paolo.

Napoli mengasak di awal permainan dengan penjaga gol Liverpool, Adrian menepis dua cubaan pada minit ketujuh dari Fabian Ruiz sebelum gol Hirving Lozano tidak dibenarkan kerana ofsaid.

Penyerang Liverpool, Sadio Mane, merampas bola dari Insigne, memaksa penjaga gol Alex Meret beraksi tangkas pada minit ke-20 sebelum satu cubaan James Milner tersasar.

Mohamed Salah juga mempunyai satu peluang selepas dikawal ketat sepanjang permainan tetapi cubaannya tersasar.

Roberto Firmino – yang membuat penampilan ke-200 untuk Liverpool – mensia-siakan satu peluang sebelum rehat apabila tandukannya sedikit tersasar.

Adrian membuat penampilan sulung dalam Liga Juara-Juara bersama Liverpool selepas penjaga gol utama, Alisson Becker mengalami kecederaan dan beliau beraksi tangkas menepis satu cubaan Mertens selepas rehat.

Gol pembukaan Napoli hadir lapan minit sebelum tamat permainan apabila Jose Callejon dikasari dalam kotak penalti oleh Andy Robertson, dengan Mertens menyempurnakan penalti selepas semakan video bantuan pengadil (VAR).

Llorente melengkapkan jaringan untuk gol sulung beliau bersama Napoli dan satu kemenangan bergaya.

“Kami harus memperbaiki benteng pertahanan dalam masa yang singkat,” tambah Ancelotti, di mana pasukannya bolos tujuh gol dari dua perlawanan Serie A.

“Dua gol hadir pada keadaan yang tidak disangka tetapi saya gembira dengan cara kami bermain malam ini.” — AFP

Advertisement