Anda di sini

Lebih 1,000 meriahkan sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah

Advertisement
 Juhar semasa melawat tapak pameran di luar dewan yang disediakan pelbagai agensi keselamatan.
LAWAT: Juhar semasa melawat tapak pameran di luar dewan yang disediakan pelbagai agensi keselamatan.

KOTA KINABALU: Lebih 1,000 anggota keselamatan pelbagai agensi dan pelajar memeriahkan sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, di sini semalam.

Sambutan dimulakan dengan acara tabik hormat Pasukan Kawalan Kehormatan Utama tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Ketujuh Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Kabota Tawau kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Majlis kemudiannya disempurnakan dengan pemeriksaan Kawalan Kehormat Utama oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin selepas menerima tabik hormat Diraja daripada Ketua Kawalan Kehormat Utama.

Beralih ke dewan utama, acara diteruskan dengan tiupan paluan akhir 'The Last Post' oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) diketuai Inspektor Ravithiran Arunasalam, sebaik acara menaikkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah.

Hadirin juga bertafakur selama 30 saat bagi mengenang perajurit negara yang terkorban semasa mempertahankan negara sebaik bacaan sajak pahlawan daripada Tentera Darat Malaysia Koperal Kartini Alwi.

Sambutan kali ini turut menyampaikan sumbangan Yayasan Tun Juhar kepada ibu Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya yang disempurnakan oleh Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Kemuncak acara diteruskan dengan persembahan khas pahlawan yang disampaikan oleh sepasukan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum tiupan 'Rouse' disampaikan Pancarangan PDRM.

Sebelum menamatkan majlis, Juhar sempat melawat tapak pameran di luar dewan yang disediakan pelbagai agensi keselamatan.

Sementara itu, salah seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Likas Khetty Elia Makadai yang ditemui berkata dia gembira dan teruja menghadiri Sambutan Hari Pahlawan buat kali kedua di sini.

"Walaupun hari ini adalah kali kedua saya di sini namun ini adalah pertama kali saya melihat pelbagai aset ketenteraan yang dipamerkan oleh pasukan keselamatan kita.

"Pada tahun hadapan saya akan turut menyertai Sambutan Hari Pahlawan selain bercita-cita menjadi salah seorang daripada anggota pasukan keselamatan negara kelak," katanya.

 Khetty dan dua rakannya Shereen serta Noraishah tekun mendengar perihal kegunaan salah satu peralatan ketenteraan yang dipamerkan.
TEKUN: Khetty dan dua rakannya Shereen serta Noraishah tekun mendengar perihal kegunaan salah satu peralatan ketenteraan yang dipamerkan.
  • oleh
  • Advertisement