Anda di sini

Jerebu turut jejas sukan, festival

Advertisement
 Abang Johari menyerahkan trofi kepada Patrick sambil disaksikan (dari dua kanan) Douglas, Abdul Karim dan Kho (dua kiri).
TROFI REBUTAN: Abang Johari menyerahkan trofi kepada Patrick sambil disaksikan (dari dua kanan) Douglas, Abdul Karim dan Kho (dua kiri).

KUCHING: Beberapa acara sukan atau festival dijadual berlangsung pada bulan ini dan Oktober depan mungkin terpaksa dibatalkan jika situasi jerebu rentas sempadan yang sedang melanda Sarawak ketika ini berterusan.

Tegas Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hazmah banyak program akan berlangsung pada September dan Oktober, namun jika keadaan berjerebu ini masih kekal ia akan memberi kesan di mana pengunjung luar akan membatalkan perancangan untuk datang ke Sarawak.

Katanya, ia termasuk penganjuran Jelajah Tenis Dunia ITF J3 Sarawak (II) Piala Ketua Menteri Sarawak Ke-34 yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 29 September ini di gelanggang tenis SLTA.

“Saya faham termasuk dalam tenis ada sesetengah peserta mungkin akan membatalkan hasrat datang ke Sarawak.

“Namun, kita akan lihat dan berdoa keadaan jerebu ini berakhir kerana banyak lagi acara-acara sukan dan festival berskala besar akan diadakan seperti Spartan Race, Jazz Festival dan What About Kuching.

“Jika jerebu berterusan kita terpaksa mengambil keputusan sama ada untuk membatalkannya kerana kita tidak mahu mengambil sebarang risiko,” katanya ketika ditemui di Bangunan Wisma Bapa Malaysia semalam.

Menurut Abdul Karim, garis panduan di Malaysia menetapkan sebarang aktiviti di luar akan dihentikan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi paras 200.

Sementara itu, Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) Dato Patrick Liew menjelaskan keputusan sama ada Jelajah Tenis Dunia ITF J3 Sarawak (II) Piala Ketua Menteri Sarawak Ke-34 itu diteruskan atau dibatalkan akan diketahui hari ini.

Patrick berkata, pihaknya masih menunggu keputusan daripada Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) di London untuk memutuskan sama ada jelajah itu diterus atau dibatalkan berikutan masalah jerebu.

“Kita ada berbincang dengan pihak ITF di London dan masih menunggu keputusan mereka jika situasi jerebu ini masih tidak berubah.

“Kita akan dimaklumkan keputusan pada Khamis ini (hari ini) sama ada tempoh pertandingan disingkatkan atau dibatalkan terus. Kita juga tidak mahu mengambil risiko,” katanya.

Terdahulu, Abdul Karim dan Patrick menyertai sesi penyerahan trofi yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Jelajah kali ini akan disertai seramai 73 pemain lelaki dan 43 wanita dari 25 negara iaitu Australia, Austria, China, Denmark, Finland, Great Britain, Jerman, Hong Kong, Indonesia, India, Jepun, Kazakhstan, Korea, Malaysia, Belanda, New Zealand, Norway, Filipina, Rusia, Singapura, Sweden, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Hadir sama Timbalan Presiden SLTA, Douglas Telajan dan Bendahari SLTA Kho Siak Koi.

  • oleh
  • Advertisement