Anda di sini

Dua lelaki bebas tuduhan memiliki dadah

Advertisement

KOTA KINABALU: Dua lelaki tempatan mampu tersenyum ketika melangkah keluar dari kamar Mahkamah Tinggi di sini semalam, setelah dibebaskan atas tuduhan memiliki dadah.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu terhadap Tee Boon Seng dan Ong King Sang, masing-masing berusia 55 tahun yang diwakili peguam Edward Paul.

Beliau melepaskan dan membebaskan kedua-dua perayu selepas membenarkan rayuan mereka atas sabitan dan hukuman yang dikenakan Mahkamah Rendah.

Tee dan Ong didakwa memiliki syabu seberat 34.62 gram pada 12 Januari 2016, jam 11.30 petang, di sebuah rumah tidak bernombor dai Kampung Kedayan Jalan Kanibong, Pitas.

Untuk itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dihukum mengikut Seksyen 39 A (2) akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada tempoh lima tahun serta dikenakan tidak kurang 10 sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip berhujah bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Menurutnya, pemilik rumah sewa terbabit memberikan keterangan bahawa dia tidak pernah melihat orang lain memasuki rumah terbabit.

Edward membidas, pegawai penyiasat dalam keterangannya juga tidak dapat memastikan dalam tempoh 10 hari tiada sesiapa yang akan masuk ke dalam rumah berkenaan.

Pada 28 Jun tahun lalu, Tee dan Ong dikenakan hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kudat selepas perbicaraan penuh dijalankan.

Mahkamah rendah memerintahkan mereka menjalani tempoh pemenjaraan itu dikira dari tarikh tangkap.

  • oleh
  • Advertisement