Anda di sini

Dua acara baharu sempena sambutan Ulang Tahun ke-66 TYT

Advertisement
 Jaujan (tengah) menjelaskan sesuatu pada sidang media berkenaan. Turut kelihatan Setiausaha Tetap KKTP Masnah Matsalleh (kiri).
SIDANG MEDIA: Jaujan (tengah) menjelaskan sesuatu pada sidang media berkenaan. Turut kelihatan Setiausaha Tetap KKTP Masnah Matsalleh (kiri).

KOTA KINABALU: Dua acara baharu akan dilangsungkan sempena sambutan Ulang Tahun ke-66 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, secara keseluruhannya terdapat 12 acara yang akan dilangsungkan bermula dari 3 Oktober sehingga 5 November depan.

"Acara yang baharu adalah konvoi motosikal berkuasa besar dari Kota Kinabalu sehingga ke Kota Belud pada 19 Oktober.

"Acara ini dijangka akan menerima penyertaan lebih 200 peserta tempatan, Semenanjung Malaysia, Brunei dan banyak lagi. Konvoi ini juga akan diketuai oleh Tun Juhar sendiri," katanya dalam sidang media sempena penganjuran sambutan Ulang Tahun ke-66 Yang Dipertua Negeri Sabah, di sini semalam.

Beliau berkata, acara kedua adalah Anugerah Atlet Cemerlang Sabah yang akan dilangsungkan pada 22 Oktober depan bertempat di Magellan Grand Ballroom Sutera Habour pada waktu malam.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) berkata, malam anugerah itu akan dihoskan oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Katanya, mereka (atlet) yang cemerlang dalam sukan negeri sehingga ke peringkat kebangsaan atau antarabangsa akan diberikan anugerah istimewa berkenaan.

"Acara selebihnya adalah majlis yang biasa dilakukan setiap tahun seperti Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di masjid negeri di sini pada 3 Oktober, manakala acara terakhir ialah Malam Sentuhan Kasih pada 5 November di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu.

"Acara lain seperti perbarisan pada 5 Oktober di Padang Merdeka di awal pagi, diikuti jam 11 pagi penganugeraan bintang kebesaran negeri Sabah di Istana Negeri dan pada malamnya jamuan negeri sempena ulang tahun TYT di Dewan Bangkuasi Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.

Jaujan yang juga pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan itu berkata, jamuan teh bersama anak-anak istimewa akan diadakan pada 10 Oktober di Nexus Karambunai.

Beliau berkata, acara seumpamanya diadakan bagi menghebahkan lagi peranan TYT kepada rakyat yang mana wujudnya kasih sayang diantara Juhar dan rakyat jelata.

"Tun Juhar turut menghayati minat golongan belia dalam aktiviti motosikal dan sebab itu beliau sendiri akan turut serta dalam konvoi berkenaan.

"Kewujudan kelab motosikal adalah satu pendekatan yang baik agar anak muda boleh menunggang motosikal masing-masing mengikut peraturan selain dijadikan sebagai riadah yang baik," katanya.

  • oleh
  • Advertisement