Anda di sini

BVB akur dengan satu mata kerana ketangkasan Ter Stegen

 Ter Stergen mempamerkan ketangkasannya apabila menepis keluar bola rembatan Reus ketika tendangan penalti pada perlawanan di Dortmund, Jerman kelmarin. — Gambar Reuters
TANGKAS: Ter Stergen mempamerkan ketangkasannya apabila menepis keluar bola rembatan Reus ketika tendangan penalti pada perlawanan di Dortmund, Jerman kelmarin. — Gambar Reuters

DORTMUND, Belanda: Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, berkata pasukannya berterima kasih kepada ketangkasan penjaga gol Marc-Andre ter Stegen selepas pasukannya pulang dengan keputusan seri tanpa jaringan di Borussia Dortmund pada perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara mereka Selasa lepas.

“Pasukan menangani hari yang buruk, kebanyakkannya kerana ketangkasan Ter Stegen,” kata Valverde selepas melihat pasukannya terselamat asakan demi asakan dari Dortmund.

Pada satu perlawanan di mana Lionel Messi kembali dari kecederaan, Ter Stegen bagaimanapun lebih mencuri tumpuan buat Barcelona apabila penjaga gol antarabangsa Jerman itu menepis satu tendangan penalti dari kapten Dortmund, Marco Reus dan berulang kali menafikan beberapa cubaan pasukan tuan rumah.

“Ia adalah perlawanan yang sukar hari ini dan saya fikir keputusan ini adil dengan melihat apa yang  berlaku,” kata Ter Stegen dan bersimpati dengan rakan antarabangsanya, Reus.

“Marco bermain dengan sangat baik hari ini dan ia benar-benar mengecewakan kami,” kata Ter Stegen.

Dortmund dan Reus bagaimanapun mungkin menyalahkan dirinya sendiri kerana mensia-siakan banyak peluang.

Reus juga berasa sangat kecewa kerana gagal menyempurnakan penalti dan menegaskan pasukannya seharusnya boleh menang.

“Kami mempunyai empat atau lima peluang dan jika kami menyempurnakan salah satu peluang, kami boleh menang,” kata beliau.

“Kami berkata selepas undian pusingan pertama, kami mahu layak ke pusingan kalah mati. Jika kami terus bermain seperti hari ini, maka ia seharusnya bukan satu masalah.”

Dortmund, yang dibimbing Lucien Favre, mengotakan janji sebelum perlawanan untuk bermain tanpa rasa gentar berdepan juara lima kali, menyerang Barca dari bahagian sayap dan berulang kali menemui ruang di bahagian pertahanan.

Ter Stegen menepis satu cubaan Reus sebelum rembatan Jadon Sancho tersasar untuk Dortmund sebelum rehat.

Dortmund terus mengekalkan rentak selepas rehat dan memperolehi satu tendangan penalti apabila Sancho dikasari Nelson Semedo dalam kotak penalti tetapi Ter Stegen menepis penalti Reus untuk mengekalkan kedudukan.

Ter Stegen sudah menyelamatkan empat dari enam penalti yang beliau hadapi dalam Liga Juara-Juara.

Reus sekali lagi gagal menyempurnakan peluang dengan satu rembatan jarak jauh terkena palang.

Messi, yang berehat beberapa minggu kerana kecederaan betis, dimasukkan untuk penampilan sulung beliau musim ini.

Penyerang berusia 32 tahun itu menggantikan Ansu Fati, penyerang remaja berusia 16 tahun yang menjadi pemain paling muda yang membuat penampilan sulung dalam Liga Juara-Juara bersama Barcelona.

Tetapi kehadiran Messi tetap tidak mengubah ketumpulan jentera serangan Barca dengan kedua-dua pasukan terpaksa akur dengan keputusan seri tanpa jaringan. — AFP