Anda di sini

Acara Sibu International Base Jump 2019 diteruskan secara berhati-hati

 Charles (duduk empat kanan) dan Aziz (tiga kiri) merakamkan gambar kenangan bersama para penerjun selepas sidang media petang semalam di sebuah hotel di sini.
DITERUSKAN: Charles (duduk empat kanan) dan Aziz (tiga kiri) merakamkan gambar kenangan bersama para penerjun selepas sidang media petang semalam di sebuah hotel di sini.

SIBU: Acara terjun ‘Sibu International Base Jump 2019’ di bangunan Wisma Sanyan di sini, tetap diteruskan seperti biasa meskipun jerebu teruk melanda ruang udara bahagian ini.

Residen Bahagian Sibu, Charles Siaw berkata, pergerakan angin dan jarak penglihatan yang sesuai sebelum peserta membuat sebarang terjunan akan sentiasa dipantau.

“Ia juga terpulang kepada keselesaan peserta sama ada mahu membuat terjunan ataupun tidak,” katanya ketika mengadakan sidang media semalam.

Charles berkata, kesemua peserta yang mengambil bahagian dalam acara terjun berkenaan juga digalakkan menggunakan penutup hidung dan mulut.

Seramai 13 penerjun terlatih menyahut cabaran terjun dari bangunan Wisma Sanjan pada paras ketinggian 126 meter dari aras laut, yang juga struktur bangunan tertinggi di Sarawak.

Sibu International Base Jump 2019 yang memasuki edisi ke-11 menampilkan penerjunan dari seluruh dunia termasuk Australia, United Kingdom, Estonia, Indonesia, Singapura, Poland dan seorang penerjun tempatan dari Sarikei.

Sejak itu, ia menjadi acara tahunan di bangunan berkenaan dan diyakini mampu meningkatkan jumlah kunjungan pelancong ke bandar ini.

Dalam pada itu Charles menjelaskan, sesi latihan bebas akan bermula esok pada jam 8 pagi hingga 1 petang.  

Katanya, acara sebenar akan bermula pada jam 8 pagi, hari Jumaat hingga Ahad pada jam 12 tengah hari.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Presiden Persatuan BASE Jump Malaysia Kapten (B) Abdul Aziz.