Anda di sini

300 sertai Kejohanan Renang B12 Penampang

 Ketua jurulatih PPSC, Benjamin (dari kiri); Presiden PPSC, Danny; wakil penaja, Wallace Tan dan pengerusi penganjur, Adeline menunjukkan replika Milo selaku salah satu penaja utama kejohanan.
PENAJA: Ketua jurulatih PPSC, Benjamin (dari kiri); Presiden PPSC, Danny; wakil penaja, Wallace Tan dan pengerusi penganjur, Adeline menunjukkan replika Milo selaku salah satu penaja utama kejohanan.

KOTA KINABALU: Edisi ke-11 Kejohanan Renang Bawah 12 Tahun Penampang 2019 disertai 300 peserta.

Kejohanan tahunan anjuran Kelab Renang Preppies Penampang (PPSC) yang sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Renang Penampang (PREPS) itu akan berlangsung di Kolam Renang Kompleks Sukan Penampang pada 21-22 September.

Presiden PPSC, Danny Madalus dalam kenyataan medianya berkata, kejohanan terbuka untuk murid sekolah rendah berusia 12 tahun ke bawah itu disertai peserta dari Labuan dan Sarawak selain peserta dari seluruh negeri ini.

"Objektif kejohanan ini adalah untuk mempromosikan sukan renang secara kompetitif dan sebagai sukan rekreasi bagi masyarakat.

"Tentunya ia akan menjadi landasan bagi perenang muda kita mengetengahkan bakat dan mendedahkan mereka dengan nilai semangat kesukanan  dalam suasana persaingan sihat," kata Danny sambil mengalu-alukan peserta yang mengambil bahagian.

Danny juga berterima kasih kepada semua penaja serta sokongan daripada Kementerian Belia Dan Sukan Sabah (KBSS), Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dan Persatuan Sukan Akuatik Sabah (SASA).

Sambil itu, Presiden SASA, Derek Chui mengucapkan syabas atas kejayaan PPSC dan jawatankuasa penganjurnya menganjurkan kejohanan itu setiap tahun.

"Kejohanan ini telah menjadi batu loncatan kepada pembangunan sukan renang di peringkat akar umbi negeri ini. Malahan, ada perenang yang memulakan kariernya di kejohanan ini telah layak membawa cabaran negara tahun ini.

Derek juga mengalu-alukan keputusan PPSC menyenaraikan pegawai teknikal SASA bertugas di kejohanan itu.

"Dengan bertambahnya atlet renang, kita perlu melatih dan menyediakan pegawai teknikal yang bertauliah kerana kita tidak boleh memajukan sukan tanpa mereka," katanya.