Anda di sini

2 juta penutup hidung dan mulut diedarkan kepada pelajar - Dr Wan Azizah 

Advertisement
 
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tiga, kiri) bersama Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman (dua, kiri) mengedarkan topeng secara percuma kepada orang ramai berikutan keadaan jerebu yang semakin kritikal di ruang legar KL Sentral hari ini. - Gambar Bernama
Dr Wan Azizah (tiga, kiri) bersama Ketua Pengarah NADMA Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman (dua, kiri) mengedarkan topeng secara percuma kepada orang ramai berikutan keadaan jerebu yang semakin kritikal di ruang legar KL Sentral hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kira-kira dua juta topeng penutup hidung dan mulut telah diedarkan kepada pelajar di kawasan yang mengalami jerebu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Beliau berkata kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengedarkan 500,000 keping topeng tersebut di Sarawak manakala 1.5 juta keping di negeri-negeri lain yang terlibat.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah menetapkan harga maksimum runcit untuk barang harga kawalan bagi lima jenis topeng berkenaan.

“Tindakan tegas (akan diambil) terhadap mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah.

“Jika perlu berada di kawasan terbuka, topeng muka (penutup hidung dan mulut) hendaklah sentiasa dipakai demi menjaga kesihatan mereka dan minum air yang mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan 2,000 topeng penutup hidung dan mulut jenis N95 di KL Sentral di sini hari ini.

Mengulas mengenai Malaysia berada di kedudukan teratas dalam senarai negara dengan pencemaran tertinggi yang dikeluarkan oleh World Air Quality Index, Wan Azizah berkata negara ini adalah penerima kesan daripada apa yang berlaku di Kalimantan.

Jelasnya Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) telah mengenal pasti beberapa kawasan di negara ini yang melakukan pembakaran terbuka dan notis kepada pihak berkenaan telah dikeluarkan agar menghentikan aktiviti bagi mengatasi masalah jerebu.

“Kita tidak boleh kawal puncanya sebab itu kerajaan menyediakan beberapa langkah untuk menanganinya,” katanya.

Wan Azizah turut menyarankan rakyat khususnya di kawasan yang bacaan IPU di tahap sangat tidak sihat dan tidak sihat agar sentiasa berada di kawasan tertutup dan mengurangkan aktiviti luar.

Dalam pada itu beliau berkata Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zainal Abidin Bakar telah mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Luar Negeri Indonesia untuk memaklumkan kepada Indonesia tentang implikasi negatif yang menimpa rakyat Malaysia akibat dari pencemaran udara dan jerebu yang semakin teruk.

Jelasnya kerajaan turut menawarkan kerjasama dengan Indonesia dan bantuan sekiranya diperlukan untuk sama-sama menangani masalah ini.

“Pihak Indonesia sedia maklum dengan perkara ini. Perkara ini merentasi sempadan, ada perkara mereka boleh tangani sendiri... dan kita akan bersama-sama untuk perbaiki keadaan,” katanya.

Beliau turut memuji peranan yang diambil oleh pihak Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) yang menyeru agar semua masjid di seluruh negara melaksanakan solat sunat Istisqa bagi memohon hujan dan mengurangkan jerebu. - Bernama 

Advertisement