Anda di sini

Kerajaan akan bertindak terhadap syarikat Malaysia yang sebabkan jerebu

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu di Perdana Putra hari ini. Turut sama Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (kiri) dan Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya. - Gambar Bernama
Dr Mahathir (tengah) menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu di Perdana Putra hari ini. Turut sama Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (kiri) dan Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi amaran bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat Malaysia mengusahakan ladang-ladang di Indonesia yang menyumbang kepada masalah jerebu melanda negara.

Kerajaan akan mengarahkan mereka memadamkan kebakaran terlebih dahulu dan sekiranya mereka enggan, tindakan akan diambil terhadap mereka, kata beliau.

"Mereka harus dipertanggungjawabkan atas kebakaran di ladang-ladang milik mereka walaupun ia terletak di luar Malaysia," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata Malaysia telah mengambil beberapa langkah untuk menangani kesan jerebu seperti melaksanakan pembenihan awam, menggalakkan orang ramai agar sentiasa berada dalam rumah dan menutup sekolah-sekolah, namun cara-cara baharu untuk mengurangkan jerebu perlu dicari.

"Kita telah mengambil langkah-langkah ini tetapi kita perlu mencari sendiri  cara-cara untuk mengurangkan jerebu. Saya fikir pembenihan awan adalah satu daripadanya tetapi kita juga perlu menyemburkan air di kawasan tertentu untuk mengurangkan jerebu,” tambah beliau.

Dr Mahathir yang turut ditanya mengenai kenyataan menteri di Indonesia yang mengatakan jerebu adalah berpunca dari Malaysia berkata: "Itulah sebabnya saya kata kita patut keluarkan peta yang menunjukkan gambar satelit titik-titik panas."

Dr Mahathir berkata beliau belum lagi menulis apa-apa surat kepada Presiden Indonesia Joko Widodo berkenaan isu jerebu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin dilaporkan berkata bahawa Dr Mahathir akan menghantar surat berhubung isu jerebu kepada Presiden Indonesia dengan seberapa segera.

Kepada soalan adakah perlu semua sekolah ditutup sehingga Jumaat ini ekoran masalah jerebu, Dr Mahathir berkata perkara itu tidak boleh dilakukan kerana indeks pencemaran udara (IPU) adalah berbeza mengikut tempat.

"Kita kena tengok banyak mana jerebu sebab (kadar) jerebu tidak sama di seluruh Malaysia," katanya.

Mengenai dakwaan India bahawa mereka telah meminta Malaysia menghantar pulang penceramah bebas Dr Zakir Naik pada Januari lepas, Dr Mahathir berkata beliau telah bertemu dengan Perdana Menteri Narendra Modi tetapi perdana menteri itu tiada membuat permintaan seperti itu.

"Beliau tidak pun membangkitkan isu berkenaan. Beliau ada menyebut mengenai Zakir Naik, tetapi beliau tidak meminta agar Zakir Naik dihantar pulang ke India," katanya.

New Delhi diaporkan menyangkal penegasan Dr Mahathir bahawa India tidak pernah mendesak agar Zakir Naik dihantar pulang. - Bernama