Anda di sini

Enam lelaki ditahan, dadah bernilai RM1.4 juta dirampas

 Zainuddin (dua kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di kawasan Yan pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Alor Setar semalam. Turut sama Helmi (kiri), Mohd Sabri (dua kanan) dan Mohamad Zain (kanan). — Gambar Bernama
TUMPAS: Zainuddin (dua kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di kawasan Yan pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Alor Setar semalam. Turut sama Helmi (kiri), Mohd Sabri (dua kanan) dan Mohamad Zain (kanan). — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Polis menahan enam lelaki serta merampas dadah jenis syabu seberat 28.8 kilogram dianggar bernilai RM1.4 juta dalam tiga serbuan di kawasan sebuah rumah inap di Yan, Ahad lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah telah menahan sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki pada jam 1 pagi di kawasan rumah tersebut.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu telah menjumpai dua beg merah yang berisi 28 bungkusan plastik minuman teh berwarna kuning yang diletakkan di tempat letak kaki penumpang bahagian belakang yang mana bungkusan itu berisi serbuk dan ketulan dipercayai dadah.

“Susulan daripada tangkapan dua lelaki itu, polis telah menahan sebuah lagi kereta yang dinaiki dua lelaki lain pada pukul 2.15 pagi yang sedang memasuki kawasan rumah inap tersebut,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, pada jam 4 pagi pula, dua kereta lain yang dinaiki enam lelaki telah memasuki kawasan tersebut dan polis berjaya menahan dua daripada mereka manakala empat yang lain berjaya melarikan diri dengan dua kenderaan terbabit.

Zainuddin berkata siasatan awal mendapati suspek yang merupakan ahli kongsi gelap Geng 35 mendapat bekalan dadah dari negara jiran dan dipercayai untuk dipasarkan sekitar Yan, Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar dan sekiranya terlepas ia mampu menampung kegunaan kira-kira 56,000 penagih.

“Kesemua suspek berumur antara 19 hingga 28 tahun didapati negatif dadah manakala tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau. Kesemua ditahan reman selama seminggu sehingga 21 Sept ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Zainuddin berkata dari tempoh 1 Jan hingga semalam, seramai 8,436 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah di negeri ini dan jumlah itu meningkat sebanyak 34 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah tangkapan itu membabitkan pengedaran dadah seramai 2,415 orang manakala seramai 6,021 yang ditahan adalah penagih dadah. Bagi nilai rampasan pula, dadah bernilai RM10.64 juta telah dirampas sepanjang tempoh tersebut,” katanya. — Bernama