Anda di sini

Dua RUU baharu mengenai rasuah pada persidangan Parlimen akan datang

Advertisement
 Abu Kassim berucap pada ‘Anti-Corruption And Integrity Forum 2019’ di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
AMANAT: Abu Kassim berucap pada ‘Anti-Corruption And Integrity Forum 2019’ di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Dua Rang Undang-Undang (RUU) baharu - derma politik dan penubuhan ombudsmen, dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini, kata Ketua Pengarah Urus Tadbir, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata kedua-dua RUU ini merupakan salah satu inisiatif utama di bawah Pelan Pencegahan Rasuah Negara (NACP) 2019-2023 yang memberi tumpuan utama untuk meningkatkan tadbir urus, integriti dan antirasuah selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

“Di samping itu, Rang Undang-Undang mengenai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) telah dibentangkan di Parlimen dan dijangka diluluskan dalam persidangan Parlimen akan datang,” katanya semasa Forum Anti-Rasuah dan Integriti 2019 di sini semalam.

Terdahulu, dilaporkan bahawa kerajaan memuktamadkan penggubalan undang-undang yang berkaitan dengan pembiayaan politik dan akan dilancarkan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Rang Undang-Undang itu akan menyentuh pelbagai aspek termasuk pihak yang perlu mendedahkan semua sumber pendanaan, termasuk sumbangan, serta beberapa inisiatif untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan yang digariskan dalam NACP 2019-2023.

Bercakap pada sidang akhbar kemudiannya, Abu Kassim berkata beliau sedang menyiapkan draf garis panduan mengenai sokongan surat yang dikeluarkan oleh ahli politik di negara ini, bagi memastikan pentadbiran lebih telus.

“Bagaimanapun, butiran mengenai perkara itu masih belum dapat  didedahkan dan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan diadakan pada hari Khamis (19 September),” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penguatkuasaan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau berkata peruntukan ini adalah pertahanan terbaik untuk menyediakan organisasi yang mempunyai prosedur yang mencukupi terhadap liabiliti korporat.

Peruntukan liabiliti korporat Akta SPRM yang akan dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun depan, juga untuk memastikan bahawa organisasi komersial tidak mengambil bahagian dalam aktiviti rasuah untuk kepentingan atau faedah mereka sendiri, katanya.

Penguatkuasaan Seksyen 17A itu melebarkan kuasa SPRM untuk mendakwa organisasi komersil yang terlibat dalam rasuah, menandakan peralihan yang ketara daripada tumpuan yang diberikan kepada individu sebelum ini. — Bernama

Advertisement