Anda di sini

Cipta rekod MBOR tingkat keyakinan Bernama

 Nik Nazmi menyerahkan Sijil Malaysia Book of Records (MBOR) kepada Mokhtar (tiga kiri) selepas agensi berita itu berjaya mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi ‘Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama’ selama 25 jam bermula 7 pagi semalam di Wisma Bernama dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
SERAH: Nik Nazmi menyerahkan Sijil Malaysia Book of Records (MBOR) kepada Mokhtar (tiga kiri) selepas agensi berita itu berjaya mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi ‘Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama’ selama 25 jam bermula 7 pagi semalam di Wisma Bernama dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kejayaan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memahat nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) semalam meningkatkan keyakinan agensi berita nasional itu untuk berdepan cabaran dalam industri media masa kini.

Ketua Pengarang Bernama Datuk Mokhtar Hussain berkata semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh petugas Bernama di semua platform dalam menjayakan misi ulung bagi ‘Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama’ itu menunjukkan kekuatan yang dimiliki agensi berita berkenaan untuk bergerak ke hadapan terutama ketika landskap industri media kini berdepan pelbagai cabaran.

“Kita merasakan jika kita betul-betul duduk bersama-sama kita dapat melihat cara untuk bagaimana kita boleh menjadi lebih baik terutamanya dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan kita dan masyarakat umum,” katanya kepada Bernama selepas menerima sijil pengiktirafan MBOR bagi  ‘Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama’ di sini semalam.

Penyerahan sijil itu disaksikan ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.  

Tepat jam 9.31 pagi semalam, Pengarah Pembangunan Perniagaan MBOR Jwan Heah mengesahkan kejayaan Bernama menempatkan nama dalam MBOR setelah bersiaran secara langsung tanpa henti selama 25 jam sejak 7 pagi kelmarin, bersempena sambutan Hari Malaysia.

Siaran langsung tanpa henti sehingga 9 pagi itu menyajikan informasi berguna bersempena Hari Malaysia dengan menyiarkan pelbagai rancangan interaktif dan bual bicara dalam empat bahasa menerusi semua saluran Bernama iaitu Bernama News Channel (BNC), Bernama Radio, Bernama.com serta semua platform media sosial agensi berita itu.

Mokhtar turut menzahirkan rasa bangga dan terima kasih kepada semua petugas Bernama yang terlibat dengan program itu di atas pencapaian mereka.

“Syabas kepada kakitangan Bernama yang bertungkus lumus membuat persediaan sejak beberapa hari lalu, malah saya juga berpeluang melihat mereka di dalam konti, (mereka) begitu komited, dan saya kagum dengan semangat yang mereka tunjukkan,” katanya.

Sementara itu, sebagai pencetus idea melaksanakan inisiatif ini, Ketua Pegawai Operasi Bernama Radio Azlan Idris berkata ia terhasil memandangkan peranan Bernama yang menjangkaui usia lebih 50 tahun sebagai agensi berita yang terkemuka.

Program berkenaan juga membuktikan bahawa Bernama merupakan agensi berita yang kukuh serta menambah keyakinan pemegang taruh khususnya pihak korporat untuk bekerjasama.

“Saya terpanggil untuk menyatakan apakah yang Bernama perlu buat melepasi usia 50 tahun itu. Kita hendak mencipta satu nama baharu yang memberikan impak bukan sahaja kepada kakitangan Bernama tetapi juga kepada rakan kongsi serta penaja pihak korporat.

“Ini platform terbaik untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan kita, percubaan kita untuk mencipta rekod ini mendapat reaksi positif... walaupun usaha ini dilakukan kurang daripada dua bulan,” katanya.

Dalam pada itu, Jwan Heah berkata Bernama layak mendapat pengikirafan itu kerana bersiaran 25 jam tanpa henti dalam empat bahasa berbanding rekod sebelum ini hanya dalam satu bahasa.

“Kita (MBOR) sudah 25 tahun, daripada 7,230 rekod, hanya dua organisasi daripada bidang penyiaran pernah menyertai MBOR. Yang pertama hanya dalam satu bahasa, jadi Bernama menggalakkan semangat perpaduan dalam empat bahasa, memang ini yang pertama dalam rekod kita,” katanya. 

Beliau dalam pada itu turut mencadangkan pada masa akan datang, mana-mana media boleh mencipta rekod bersiaran secara langsung dalam lebih daripada empat bahasa memandangkan Malaysia mempunyai pelbagai kaum serta etnik termasuk di Sabah dan Sarawak atau bersiaran secara langsung selama 48 atau 72 jam. — Bernama