
TAWAU: Perpaduan haruslah menjadi keutamaan kepada semua kaum untuk memastikan negara kita akan sentiasa berjaya dan maju kehadapan dengan lebih baik lagi.
Selain itu, perpaduan juga perkara yang sangat penting dalam kita menjalani kehidupan di dalam negara yang bertuah ini supaya dapat mengekalkan keamanan yang sedia ada.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Program yang diadakan ini sangat bagus kerana pengisiannya lebih kepada menggambarkan kesatupaduan rakyat yang berbilang kaum khususnya di daerah ini.
"Saya melihat penganjur berjaya melibatkan semua kaum dan etnik di daerah ini untuk turut bersama-sama menjayakan program ini serta menunjukkan masyarakat Tawau sememangnya sudah lama wujud perpaduan di kalangan mereka.
"Syabas dan tahniah kepada Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMT) kerana berjaya mengadakan program yang bukan sahaja mengingati pengorbanan pejuang kemerdekaan tetapi mengeratkan perpaduan di kalangan masyarakat Tawau," katanya ketika merasmikan majlis penutupan Karnival Hari Malaysia.
Beliau berkata, program-program seumpama ini harus diperbanyakkan dan dikekalkan khususnya dalam kita meraikan bulan kebangsaan yang bermula daripada awal ogos dan berakhir 16 september setiap tahun.
"Selain dengan pengisian yang berbentuk perpaduan di samping mengimbau kembali perjuangan orang terdahulu menuntut kemerdekaan, ianya juga dapat menyemai rasa cinta dan tanggungjawab khususnya di kalangan golongan muda," katanya lagi.
Nizam berharap setiap rakyat harus mempunyai sikap toleransi supaya negara akan terus makmur kerana Malaysia dibentuk di atas persetujuan yang termaktub didalam perlembagaan bahawa hak semua kaum terpelihara dan terjamin.
"Walaupun Islam agama rasmi dan bahasa Melayu bahasa kebangsaan negara tetapi rakyatnya bebas menganuti agama masing-masing dan bahasa lain juga tidak diabaikan," katanya
Menurutnya, kita harus pertahankan semua ini jangan ada ruang dan peluang sedikit pun kepada kelompok-kelompok yang tidak bertanggunjawab merosakkan kemakmuran negara.
"Kita harus mengelak daripada orang-orang yang hanya berjuang untuk kepentingan kelompok sahaja tetapi kita mesti berjuang sebagai rakyat malaysia yang berbilang kaum yang mana kepelbagaian sebenarnya satu rahmat untuk kita maju bersama dengan kepimpinan perdana menteri sekarang," jelasnya.