
KOTA KINABALU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) kini berada di landasan tepat dan semakin diterima oleh para majikan dalam industri Malaysia.
Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye berkata, selepas 27 tahun menerajui institut itu, beliau gembira untuk melihat usaha yang digerakkan sepanjang tempoh beliau berkhidmat kini menampakkan hasil.
"Kontrak saya sebagai pengerusi NIOSH akan tamat pada 20 September ini... saya gembira badan kerajaan ini yang dahulunya bermula dari sifar dan kini sudah diterima oleh para industri dalam negara ini.
"Ini juga adalah sidang media terakhir saya dan saya sangat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberikan saya peluang untuk berkhidmat selama 27 tahun dalam NIOSH," katanya semasa sidang media di sini semalam.
Beliau yang kini berusia 73 tahun akan terus memberikan sumbangan dan bakti kepada negara dengan cara yang lain tetapi akan tetap aktif memperjuangkan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (OSH) dalam negara ini.
Selain NIOSH, beliau kini juga menyandang jawatan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Pengerusi Yayasan Eco World, Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa, Pengerusi Lembaga Pentadbiran Open Universiti Malaysia (OUM), Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental dan Trustee Malaysia Unity Foundation.
"Ramai yang berkata saya ini orang kaya, ada perniagaan di sini dan di sana sebagai pengerusi, tetapi yang sebenarnya tidak, saya bukan ahli perniagaan dan tidak berniaga.
"Saya memberikan sepenuh jiwa dan raga saya untuk berkhidmat kepada masyarakat di Malaysia. Selama ini saya digelar aktivis masyarakat, haiwan dan banyak lagi.
"Sepanjang perkhidmatan saya, saya sudah melawati semua negeri termasuk kawasan-kawasan pedalaman bagi memperkenalkan kepentingan NIOSH," katanya.
Dalam pada itu, Lee menjelaskan setiap majikan di negara ini harus menjadikan kesihatan mental sebagai keutamaan terhadap pekerja mereka.
Katanya, keadaan stress yang dihadapi pekerja mendorong kepada berlakunya kemalangan ketika bekerja.
"Untuk itu, NIOSH akan terus memperkasakan latihan yang diberikan. Walaupun banyak agensi atau syarikat di luar sana yang menawarkan latihan seumpamanya, latihan yang diberikan harus berkualiti.
"Sekiranya berkualiti, sudah pasti banyak syarikat akan tampil untuk menyertai latihan yang diwujudkan seperti NIOSH," katanya.
Lee juga berpendapat majikan yang hanya pandai mengarah pekerjanya untuk kerja dengan selamat adalah tidak mencukupi.
Katanya, pekerja harus diberikan peluang untuk memperolehi kemahiran atau kepakaran keselamatan menerusi latihan yang diwujudkan.
"Budaya berkerja secara selamat harus sentiasa dititikberatkan oleh semua majikan dalam negara ini kerana ia mampu meningkatkan kesihatan pekerja dan produktiviti syarikat masing-masing.
"Majikan juga wajib untuk mengelakkan sebarang kejadian kemalangan yang berpotensi terjadi di tempat kerja," katanya.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah Pengurus NIOSH Cawangan Pejabat Sabah Wan Sarman Sakan.