
SANDAKAN: Pencerobohan nelayan Vietnam di perairan pantai timur Sabah dengan menggunakan peralatan yang diharamkan di negara ini merupakan ancaman kepada ekosistem laut negeri Sabah.
Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Sandakan Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, nelayan Vietnam terbabit didapati menggunakan peralatan besi mencecah dasar laut yang memusnahkan habitat ikan dan terumbu karang.
Katanya, pencerobohan itu juga memberi kesan kepada nelayan tempatan terutamanya dalam soal sumber pendapatan.
Menurutnya, pencerobohan nelayan asing itu, terutamanya dari Vietnam, di perairan Sabah Timur mula dikesan sejak 2017 sebelum bergiat aktif tahun ini ekoran Ops Naga yang dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan pantai timur Semenanjung, Sarawak dan Sabah.
“Nelayan Vietnam ini mula beralih arah ke kawasan pantai timur Sabah. Mereka juga mengetahui kawasan ini mempunyai hasil tangkapan yang lebih baik,” katanya di Zon Maritim Sandakan, petang kelmarin.
Pihaknya mendapati kapal yang digunakan nelayan Vietnam yang ditahan oleh APMM Zon Sandakan menggunakan nombor pendaftaran Kelantan dan sebelahnya nombor pendaftaran negara mereka.
“Taktik yang mereka lakukan ini adalah bertujuan mengaburi pihak penguatkuasa negara,” jelasnya.
Khairulanuar berkata, nelayan Vietnam terbabit juga semakin licik dalam menjalankan aktiviti penangkapan hasil laut di mana mereka akan berlabuh di perairan antarabangsa pada waktu siang dan memasuki perairan Sabah pada waktu malam.
Pada Khamis lepas, jam 5.22 petang, Maritim Malaysia telah berjaya menahan sebuah kapal nelayan asing di kedudukan 23.4 batu nautika timur laut Tanjung Ayam, Pulau Jambongan.

Enam nelayan Vietnam telah ditahan berumur 14 hingga 46 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
APMM merampas 600 kilogram gamat dan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM650 ribu termasuk bot, peralatan menangguk gamat dan hasil gamat.
Khairulanuar berkata, pihaknya akan sentiasa membuat rondaan, operasi yang kerap dan mengambil tindakan tegas dalam membendung masalah pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Sabah Timur.