
SANDAKAN: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman berkata, kerajaan akan membuat kajian semula keberkesanan peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Unit Tindakan Khas (UTK) di Sabah.
“Keperluan UTK di Sabah memang ada, ini termasuklah penambahan keanggotaan UTK dan penempatan unit ini di kawasan perlu, ini dibincangkan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Beliau berkata, UTK banyak melahirkan keanggotaan tetapi banyak diambil oleh menteri-menteri, timbalan menteri dan wakil-wakil rakyat yang ditugaskan sebagai bodyguard. Semua ini kita akan bincang di peringkat kementerian.
Azis berkata, perbincangan itu juga turut membincangkan keberkesanan peranan ESSCOM yang mana kajian semula akan dilakukan.
Beliau berkata, peranan ESSCOM diteliti untuk diperincikan bagi memastikan keberkesanan dan pemantapan keselamatan Pantai Timur Sabah.
“Perkara ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada tahun hadapan,” katanya selepas membuat lawatan ke Martek UTK Sandakan, kelmarin.
Dalam pada itu, Azis telah melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan Martek UTK Sandakan untuk melihat dan diberi taklimat berhubung isu-isu keselamatan selain kebajikan dan kuarters-kuarters Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) di sini.
Beliau telah melihat sendiri keadaan kuarters IPD Sandakan yang terletak di Tinosa Batu 4 dan kaurters UTK Sandakan.
Ditanya berhubung perkara itu, Azis menjelaskan isu tentang kuarters ini bukannya isu baharu tetapi ia berlaku di seluruh negara tidak terkecuali di Sandakan.
“Saya sendiri sudah melihat semalam dan gambar pun kita telah ambil. Saya akan buat laporan berhubung perkara ini,” tegasnya.
Beliau akan cadangkan agar satu bajet khas diberikan kepada IPD Sandakan dan UTK di sini bagi diberi kelulusan berhubung isu-isu yang dibangkitkan termasuk isu kaurters dalam lawatan saya ini.
“Perkara itu juga turut membabitkan aktiviti dan latihan pegawai dan anggota polis terutamanya UTK, saya akan bawa perkara ini ke pihak kementerian bagi diambil perhatian sewajarnya,” katanya.