Anda di sini

Jerebu: Malaysia sedia bantu Indonesia - TPM

DR WAN AZIZAH - Gambar fail Bernama 

MUKAH: Malaysia sedia menawar khidmat untuk bantu Indonesia dalam mengurangkan masalah jerebu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya sedia menghantar bantuan dalam apa juga bentuk untuk membantu memadamkan kebakaran hutan yang berlaku di negara jiran itu.

"Kita sedia tawar khidmat kepada Indonesia untuk menolong memadamkan kebakaran hutan yang berlaku di sana," katanya kepada media hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), percaya Indonesia telah melakukan yang terbaik untuk menangani masalah jerebu dan kebakaran hutan di negara itu.

Antara usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan Indonesia adalah pembenihan awan, modifikasi cuaca termasuk pemadaman api secara besar-besaran dan beberapa lagi perkara yang perlu.

Namun, kebakaran amat luas dan difahamkan seluas 324,000 hektar telah terjejas akibat kebakaran hutan.

Pada masa sama, Dr Wan Azizah turut menyatakan semua pihak harus berada dalam kesiap siagaan tinggi untuk menghadapi situasi terburuk.

Ini kerana ia melibatkan isu keselamatan awam dan keadaan darurat boleh diisytiharkan jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 500.