Anda di sini

Drama pilihan Anugerah Skrin 2019 setiap Ahad di TV3

Advertisement
 

ANUGERAH Skrin anjuran TV3 yang mengangkat karya terbaik dalam terbitan TV dan filem kini kembali untuk edisi tahun 2019.

Bakal berlangsung pada bulan November nanti, Anugerah Skrin 2019 (ASK 2019) membuka tirai dengan menayangkan sembilan drama pilihan ASK 2019 setiap hari Ahad, jam 3.00 petang bermula 1 September lepas hinggalah 27 Oktober depan.

Saban tahun, Anugerah Skrin menyaksikan persaingan sengit dalam kategori drama yang pernah mengangkat ‘Pendosa Ingin Ke Syurga’, ‘Pesan Dari Tuhan’, ‘Fatin’ dan ‘Lorong Kecil Ke Syurga’ sebagai Drama Terbaik dalam edisi penganjuran yang lepas.

Tahun ini, drama-drama yang tercalon dalam kategori Drama Terbaik Anugerah Skrin memaparkan jalan cerita yang mantap dan sarat dengan mesej-mesej yang boleh dijadikan iktibar bagi para penonton.

Berikut ialah sebahagian drama yang tercalon untuk Anugerah Skrin 2019 yang akan ditayangkan selepas ‘Neraka Kasih Maisarah’ yang menemui penonton TV3 pada 1 September lepas, ‘Titi Kayu’ (8 September) dan ‘Remuk’ (15 September).

Jangan lupa untuk menonton karya-karya hebat ini pada tarikh dan waktu seperti yang dipaparkan.

 Faizal Hussein lakonkan watak seorang lelaki yang garang dan panas baran dalam ‘Samad Tedung’.
WATAK UTAMA: Faizal Hussein lakonkan watak seorang lelaki yang garang dan panas baran dalam ‘Samad Tedung’.

1) Samad Tedung, 22 Sept

Samad terkenal dengan sikap garang dan panas baran hingga digelar ‘SAMAD TEDUNG’. Isterinya, Rusmila bersabar dengan sikapnya dan percaya Samad akan berubah.

Samad hanya duduk sahaja di rumah setelah bengkelnya ditutup kerana masalah kewangan. Rusmila terpaksa bekerja untuk menampung keluarga. Anak-anak tidak tahan dengan sikap ayah mereka tetapi jika ditegur pastinya akan diherdik.

Kemuncaknya, apabila Rusmila diserang demam panas, Samad tidak ambil peduli hingga Rusmila meninggal dunia. Anak-anak marah dengan sikap Samad dan menyalahkan Samad atas kematian ibu mereka.

Sejak itu, anak-anaknya meninggalkan Samad sendirian dan tidak mengambil tahu keadaan Samad. Selepas kejadian itu, sikap Samad masih tidak berubah, malah solat juga semakin jauh ditinggalkan.

Jauh di sudut hati Samad, dia sedih kerana anak-anak tidak pernah menjenguk dia dalam keadaan tidak sihat. Samad teringat kembali kenapa dia menjadi baran, dahulu semasa kecil ayahnya juga seorang yang bengis dan sering memukulnya.

Kemunculan Amir, 8 tahun, anak kepada jirannya sering menjenguk Samad kerana kasihan melihat Samad sendirian.

Pada mulanya Samad benci dengan Amir kerana menganggap budak itu mengganggu hidupnya. Kini, Amir menjadi ‘cucu angkatnya’. Walaupun masih kecil, Amir sering mengajar Samad solat dan mengaji. Amir berbuat demikian kerana terbaca diari yang ditulis oleh arwah isteri Samad dan menceritakan tentang Samad.

Walaupun Samad bersikap begitu, sebenarnya dalam diam Samad masih mempunyai perasaan sayang dan ambil berat kepada anak dan isterinya tetapi tidak ditunjuk secara zahir.

Pelakon: Faizal Hussein, Amar Asyraf, Sweet Qismina, Watie Sadali, Adik Syed Muhammad Irfan

2) Wakaf Dosa, 29 Sept 

Bakri Zain merupakan seorang pelakon yang memenangi banyak anugerah dan rezekinya tidak pernah putus. Daniel Muhaimin seorang pelakon terkenal yang mula mencemburui Bakri apabila sering dibanding-bandingkan.

Daniel bertambah marah apabila penganjur Festival Filem terpaksa menarik keluar namanya dan memilih Bakri Zain sebagai calon untuk kategori pelakon lelaki terbaik. Sejak itu, hasad dengki mula muncul dalam diri Daniel.

Puteri Najwa merupakan anak sulung Bakri dan sedang mengambil Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk mengejar impiannya menyambung pelajaran di Universiti Al Azhar. Berbeza dengan kejayaan ayahnya yang lebih menjurus ke ‘Dunia’, Najwa pula menjadikan ‘Akhirat’ sebagai titiannya untuk ke syurga.

Suatu hari, sebuah video skandal seks Bakri Zain bersama dua orang perempuan disebar dan menjadi tular di media sosial. Bakri terduduk dan terkelu apabila mendapat tahu tentang video itu.

Bakri puas berfikir siapa yang sanggup memfitnah dan menganiayainya sehingga ke tahap ini. Itu merupakan titik permulaan kehancuran ‘Bakri Zain’. Di saat ini Bakri mula tersedar yang dirinya selama ini jauh dari Allah.

Bakri akhirnya meninggal dunia akibat tekanan dan kemurungan yang berpanjangan. Sejak kejadian itu, Daniel yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah dengan video palsu itu mula dihantui perasaan bersalah dan tidak tenang. Daniel akhirnya bertemu dengan keluarga Bakri dan mengaku kesalahannya namun segalanya telah terlambat.

Pelakon: Dato Rosyam Nor, Izzue Islam, Sweet Qismina, Faradhiya

3) Bebaskan Anak Kita, 6 Okt

Rahim adalah bekas pengawal keselamatan yang bertugas di Stadium Merdeka. Dia  ingin membawa cucu-cucunya ke Stadium Merdeka dan berkongsi segala cerita suka duka bangunan itu kepada mereka dengan harapan generasi itu tidak lupa akan sejarah awal pembangunan Malaysia.

Malangnya usaha dia mendapat tentangan daripada mereka yang memandang niatnya sebagai remeh.

Walaupun rancangan Rahim dibantah, dia telah membawa Aiman dan rakan-rakannya, Siva dan Badrul ke Stadium Merdeka. Namun, Badrul terpisah dengan mereka dalam perjalanan ke Stadium Merdeka dan tidak dapat dijumpai. Nasib baik, Badrul dibawa ke balai polis oleh seseorang yang baik hati.

Razak malu dengan perbuatan ayahnya lalu meminta ayahnya untuk tidak meneruskan rancangannya. Pada masa yang sama, anak sulung Razak, Azril sedang menyiapkan kertas kerja tentang Stadium Merdeka dengan bantuan Rahim dan juga rakan kerjanya.

Pelakon: Dato’ Rahim Razali, Amar Baharin, Adik Jay Nazrif, Datuk Fizz Fairuz

4) Terima Kasih Ibu, 13 Okt

Kisah mengenai Nil yang dikenali sebagai budak bermasalah di sekolahnya. Ibunya Zaitun pula tidak mempedulikan nasihat guru dan sentiasa menyebelahi anaknya walaupun ternyata anaknya itu membuat kesalahan. Akhirnya Nil dibawa masuk ke sekolah juvana beberapa bulan sebelum SPM kerana kes memukul Kimi sehingga meninggal dunia.

Walaupun telah dibebaskan dari sekolah juvana, Nil tidak berubah malah sikapnya lebih teruk. Nil menjadi pengedar dadah dan merompak bank sehingga diburu pihak polis. Nil menjadi pelarian kerana takut akan hukuman berat yang bakal dihadapi. Hinggalah dia bertemu dengan gurunya sendiri yang membantu mengubati kecederaannya.

Akhirnya, Nil ditangkap polis dan disabit kesalahan selepas gurunya membuat laporan. Sebelum hukuman dijatuhkan, Nil membuat ucapan terakhir kepada ibunya ‘terima kasih ibu kerana tidak pernah menegur salah dan silapnya’ sehingga dia sudah terbiasa melakukan kesilapan.

Pelakon: Nafiz Muaz DFKL, Azhan Rani, Sherie Merlis, Adam Corie, Nad Zainal, Firdaus Ghufran

5) Batik Zakiah, 20 Okt  

Hidup Zakiah penuh dengan dugaan apabila dia terpaksa berkahwin dengan Azmi yang jauh lebih berusia daripadanya. Malah Zakiah juga terpaksa menjadi isteri kedua dan bermadu dengan Maimun.

Zakiah diperlakukan seperti orang gaji oleh Maimun. Maimun telah menggunakan pelbagai rancangan jahat untuk menghancurkan hidup Zakiah walaupun hakikatnya dia yang membenarkan Azmi berkahwin dengan Zakiah.

Zakiah disahkan mengandung. Dia berjaya keluar dari rumah Azmi dan tinggal bersama ibunya Che Tom.

Zakiah selamat melahirkan seorang anak perempuan yang diberi nama Hanim. Masih dalam tempoh berpantang, Zakiah sekali lagi diuji apabila anaknya diculik oleh Azmi dan Maimun.

Azmi dan Maimun kemudiannya berpindah supaya Zakiah tidak dapat mengesan Hanim.

Sejak itu hidup Zakiah menjadi semakin tidak tentu arah. Atas nasihat Mus, rakan baiknya Zakiah belajar semula dan berjaya menjadi seorang guru dan bernikah dengan Mus. Namun dia masih tidak dapat melupakan kejadian lalu. Zakiah selalu bercakap dengan kain batik yang menjadi alas anaknya tidur dulu.

Pelakon: Eyka Farhana, Amyza Aznan, Rusdy Ramly, Laila Nasir, Azar Azmi, Noralbaniah, Dato’ Ahmad Tamimi Siregar

6) Restu Ayah, 27 Okt 

Azlan merupakan anak tunggal. Ibunya terlalu memanjakan dia berbeza dengan ayahnya yang tegas. Azlan akan mengamuk apabila ayahnya menegur setiap kesalahannya.

Suatu hari, ibu bapanya ditimpa kemalangan menyebabkan Azlan kehilangan ibunya manakala ayahnya pula disahkan lumpuh. Azlan amat sedih dengan kematian ibunya dan menyalahkan ayahnya.

Sejak itu, Azlan menanam rasa benci terhadap ayahnya. Dia tidak pernah mengambil tahu tentang keadaan ayahnya yang lumpuh itu.

Keputusan SPM yang dinanti-nantikan sudah pun keluar, Azlan terkejut kerana gagal lalu tersedar akan perbuatannya kepada ayahnya. Dia pulang ke rumah untuk meminta maaf tetapi malangnya ayah Azlan telah menghempuskan nafas terakhir.

Pelakon: Raja Atiq, Azhan Rani, Badrul Muhayat, Watie Sadali, Sharifah Shahora

Masih kekal dengan objektif penganjurannya sejak tahun 1994, ASK 2019 meneruskan usaha memartabatkan industri seni dengan memberi pengiktirafan kepada para karyawan dan penggiat seni tanah air.

Selain TV3, ntv7, TV9 dan 8TV yang bernaung di bawah rangkaian televisyen Media Prima Berhad, TV3 selaku penganjur turut mengundang rakan penyiar lain seperti RTM, ASTRO, BERNAMA, TV Al-Hijrah dan Hypp TV untuk menyertai ASK.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, layari www.xtra.com.mydan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @tv3malaysia.

Advertisement