Anda di sini

Tahap keselamatan Sabah semakin meningkat

Advertisement
 Ahmad Hasbullah (kiri) menyerahkan plak bendera 13 Briged kepada Panglima 13 Briged Brigadier Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad semasa penstrukturan semula 13 Briged baru-baru ini.
TERIMALAH: Ahmad Hasbullah (kiri) menyerahkan plak bendera 13 Briged kepada Panglima 13 Briged Brigadier Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad semasa penstrukturan semula 13 Briged baru-baru ini.



TAHAP keselamatan Sabah kini semakin terkawal dari sebarang kejadian pencerobohan anasir luar yang cuba untuk menjalankan jenayah sama ada terancang atau sebaliknya terutamanya di kawasan pantai timur Sabah.

Dalam tahun ini belum ada kejadian penculikan yang berjaya dilakukan militan Abu Sayyaf membabitkan rakyat Malaysia dan hanya satu kejadian culik membabitkan 10 warga asing iaitu di perairan Felda Sahabat Lahad Datu 18 Jun lalu.

Kesemua mangsa culik yang juga nelayan 'palauh' atau gipsi laut sudah dibebaskan oleh pasukan keselamatan negara jiran di Kampung Toya Talipao Pulau Jolo pada 22 Jun termasuk seorang lagi dibebaskan tidak lama selepas itu.

Beberapa lagi cubaan pihak penjenayah rentas sempadan cuba untuk memasuki sempadan perairan kita, bagaimanapun kegiatan mereka berjaya dikesan anggota keselamatan yang terus berkorban menjalankan tugas tidak kira masa di kawasan ESScom.

Salah satu kejadian baru-baru ini pihak polis berjaya menembak mati dua warga asing dipercayai ahli kumpulan Abu Sayyaf atau militan yang cuba untuk menjalankan keganasan di Lahad Datu dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Felda Sahabat Lahad Datu.

Komander ESScom Datuk Hazani Ghazali baru-baru ini mengatakan keadaan keselamatan di pantai timur Sabah adalah terkawal dan hasil operasi bersepadu bersama anggota keselamatan lain berjaya menggagalkan pelbagai elemen jenayah termasuk penyeludupan serta tangkapan Pendatang Tanpa Izin (PTI). 

Bukan hanya tertumpu di kawasan perairan semata-mata malah ESScom juga memperkasa ESSzone melalui pemantauan dan kawalan udara secara bersepadu dengan kerjasama pesawat ATM yang berpengkalan di pantai timur Sabah.

Ketua Staf Bahagian Udara ESScom Briged Jeneral Ayub Khan Mohamad Khan berkata, antara aset yang terlibat dalam pemanatauan udara termasuklah pesawat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Helikopter Fennec TLDM daripada KD Sri Semporna manakala helikopter Nuri TUDM di Tawau dan Agusta dari Skuadron 881 Pangkalan Udara Tentera Darat (PUTD) Sandakan akan mengambil alih operasi udara.

"Dua lagi pesawat yang beroperasi dari Pangkalan Udara Labuan masing-masing Hawk dan Pesawat B200T dari 6 Squadron serta 16 Squadron juga akan turut digerakkan bagi pemantauan yang melengkapkan lagi operasi lain di ESSzone," katanya.

 Hazani (dua kiri) semasa memberikan taklimat keselamatan ESScom kepada Shafie baru-baru ini.
UMUM: Hazani (dua kiri) semasa memberikan taklimat keselamatan ESScom kepada Shafie baru-baru ini.

Bercakap lanjut mengenai operasi ini beliau berkata, ia penting bagi mengesan sebarang pencerobohan anasir luar termasuk Culik Untuk Wang Tebusan (KFR) yang mengganggu keselamatan di persempadanan perairan terutama di sempadan berdekatan Filipina.

Sementara itu Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Bador berkata ESScom akan ada penyusunan dan penstrukturan semula membabitkan penempatan pasukan keselamatan negara termasuklah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Katanya, tindakan itu perlu dilaksanakan berikutan ancaman Abu Sayyaf yang dipercayai berpangkalan di kepulauan Jolo, Sulu masih tinggi dan boleh berlaku bila-bila masa di pantai timur Sabah.

"Proses penstrukturan semula ini sedang dilaksanakan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ianya bagi memantapkan lagi pelaksanaan ESScom.

"Antara penstrukturan semula adalah mengemaskini struktur kawalan kawasan iaitu pertukaran pos pengawal yang diambil alih oleh PDRM dan ATM serta melihat tugas yang bakal disusun semula," katanya.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu juga mengumumkan ESScom akan distruktur semula dan perkara itu sedang dibincangkan bersama MKN termasuk usaha memperoleh peralatan tambahan untuk memantapkan lagi tugas pasukan serta meningkatkan lagi keselamatan di pantai timur Sabah.

Katanya, Kementerian Pertahanan mendapat peruntukan tambahan lebih RM200 juta dan akan diagih bagi mempertingkatkan tugas keselamatan di ESScom.

Salah satu penstrukturan semula yang sudah dilaksanakan termasuklah membabitkan Briged ke-13 Infantri Malaysia 13 Briged (ESScom) yang ditubuhkan pada 31 Januari 2017 yang bertujuan menyokong komponen operasi pasir pesisir pantai dalam kawasan tanggungjawab membabitkan lima daerah daratan pantai bermula dari Kudat ke Semporna kepada 13 Briged.

Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata ini adalah keperluan penjajaran semula struktur pemerintahan selaras dengan pemodenan dan penetapan pucuk pimpinan pada tahun ini sebagai tahun latihan dan penjajaran bagi Tentera Darat Malaysia (TDM).

Meskipun banyak penstrukturan semula dilaksanakan di ESSzone tetapi beberapa operasi yang sudah dijalankan sebelum ini di pantai timur Sabah masih relevan untuk dilaksanakan termasuklah Ops Pasir.

Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki berkata Ops Pasir yang sudah dilaksanakan hampir 20 tahun itu menerima kerjasama banyak pihak dan menjadi mekanisme penting dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negara di sempadan.

Menurutnya matlamat utama Ops Pasir adalah mengekang ancaman yang datang dari luar dan operasi Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2 ini menerima kerjasama baik dari pasukan ESScom, PDRM serta Maritim Malaysia.

Dalam pada itu bagi mengukuhkan lagi keselamatan di pantai timur Sabah, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Kerajaan Negeri sedia bekerjasama berhubung maklumat dari Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata pergerakan pihak tidak bertanggungjawab ke sini juga mampu dikekang melalui perkongsian lebih banyak maklumat berkaitan keselamatan berikutan AS menyenaraikan pantai timur antara 35 kawasan yang berisiko berlakunya penculikan.

Beliau juga menegaskan kepentingan untuk meningkatkan keupayaan dalam menangani jenayah rentas sempadan termasuklah mengambil kira pilihan yang ada pada era teknologi digital seperti teknologi pengawasan untuk mempertingkatkan aset strategik dan persenjataan semasa negara yang sudah lapuk.
 

  • oleh
  • Advertisement