Anda di sini

Pesta Kuih Bulan beri peluang fahami dan terima kebudayaan Cina

Advertisement
 Frankie bersama tetamu jemputan memotong kuih bulan sempena merayakan Pesta Kuih Bulan. 
SIMBOLIK: Frankie bersama tetamu jemputan memotong kuih bulan sempena merayakan Pesta Kuih Bulan. 

SANDAKAN: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, terdapat pelbagai jenis perayaan tradisi Cina yang dirayakan sepanjang tahun dan Pesta Kuih Bulan adalah salah satu daripadanya.

Menurut beliau, merayakan Pesta Kuih Bulan adalah penting bagi kaum Cina kerana ia bukan sahaja dapat mengekal dan mewarisi tradisi kebudayaan yang indah, bahkan juga memberi peluang kepada masyarakat yang berbilang kaum untuk memahami dan menerima adat kebudayaan itu.

Katanya, melalui perayaan itu, pelbagai kaum dan bangsa dapat sama-sama mengadakan pelbagai aktiviti khas seperti menikmati bulan purnama yang indah, menikmati makanan yang lazat seperti kuih bulan dan buah-buahan. 

Selain itu, katanya, aktiviti berkumpul itu dapat mengeratkan hubungan persaudaraan dan persahabatan demi memupuk kasih sayang antara satu sama lain.

"Malaysia merupakan negara yang berbilang kaum dan agama, persefahaman antara satu sama lain dan saling menghormati dengan adat istiadat dari semua kaum dan bangsa merupakan faktor penting dalam mencapai keharmonian negara. 

"Oleh itu, pihak kerajaan sentiasa menggalakkan dan menyokong penganjuran sepanjang aktiviti sempena pelbagai perayaan bagi membolehkan seluruh rakyat meraikannya tanpa mengira kaum. 

"Ini akan dapat membina sebuah masyarakat yang harmoni dan seluruh rakyat hidup aman dan damai," katanya ketika berucap sempena Pesta Malam Perayaan Kuih Bulan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiong Hua, di sini kelmarin.

Perayaan itu merupakan anjuran Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat bersama Pertubuhan Suria Harapan Sabah.

Lebih 1,000 orang hadir memeriahkan perayaan itu yang diisi dengan pelbagai acara seperti persembahan tarian, nyanyian, lakonan selain cabutan nombor bertuah.

Turut diadakan, persembahan orkestra, pertandingan tanglung serta pemilihan pakaian cheongsam terbaik.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan Phoong Jin Tze dan Pembantunya Arunarnsin Taib, Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee, ADUN Elopura Calvin Chong Ket Kiun, ADUN Dilantik Jaffari Waliam, Timbalan Presiden MPS 1 Mohd Hamsan Awang Supain dan Pengerusi Penganjur Apple Chin Su Ping.

  • oleh
  • Advertisement