
KOTA BELUD: Semua lapisan masyarakat termasuk persatuan keluarga harus memainkan peranan penting untuk mencegah masalah pendatang asing tanpa izin (PTI) di negeri ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, melalui persatuan keluarga, boleh memastikan rumah, kedai, ladang dan kilang perusahaan milik ahli-ahli keluarga bebas daripada PTI.
"Masalah PTI merupakan bahan perbualan hangat rakyat Sabah ketika ini. Kerajaan sememangnya bertanggungjawab mencari penyelesaian tetapi sebenarnya kita sendiri juga boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada masalah ini.
“Mari kita pastikan rumah, kedai, ladang dan kilang perusahaan milik ahli keluarga, dan kampung kita secara keseluruhannya bebas daripada PTI. Kalau ini dapat dilakukan, saya percaya kawasan kita di DUN Kadamaian bebas daripada masalah pendatang asing tanpa izin," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Keluarga Besar Lomok di Kg Piasau, Kota Belud.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata: “Saya maklum ahli-ahli keluarga ini yang menyatakan kekhuatiran mereka terhadap masalah pendatang asing di Sabah dan bertanya pendapat saya mengenai perkara ini”.
Katanya, di peringkat kerajaan, ini merupakan satu perkara yang perlu diselesaikan dan Jemaah Kabinet Negeri telahpun membuat ketetapan memanggil Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran memberikan taklimat seterusnya berbincang mengenai cadangan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada pendatang asing yang sudah berada di negeri ini melalui pemberian dokumen IMM13, Sijil Bancian dan Burung-Burung yang diberikan oleh Kerajaan yang lepas.
“Saya tidak akan membuat kenyataan mengenai cadangan ini sehingga taklimat dan perbincangan terperinci tersebut dibuat kerana saya sendiri mempunyai banyak persoalan yang ingin diajukan kepada Kementerian Dalam Negeri.
“Tetapi di peringkat kita sebagai komuniti di kampung, saya ingin mengajak semua rakyat di Kadamaian termasuk melalui persatuan-persatuan keluarga menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah ini dengan menjadikan Kadamaian bebas daripada pendatang asing tanpa izin," katanya.