
TAWAU: Seorang maut dan seorang koma dalam kemalangan jalan raya melibatkan motosikal dan kereta di simpang sebuah pasaraya di Merotai Besar di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 12. 20 tengahari semasa penunggang motosikal dalam perjalanan balik ke rumahnya.
“Penunggang motosikal, Abdul Razali Saaibu, 21, pelajar, ketika ini masih menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tawau dan berada dalam keadaan koma,” katanya.
Peter berkata, pemandu kereta yang berlanggar dengan motosikal terbabit, lelaki, 63, tidak mengalami sebarang kecederaan namun terpaksa ditahan untuk proses siasatan lanjut.
Menurutnya, identiti penumpang kereta yang meninggal dunia akibat kejadian itu pula masih belum dikenalpasti berikutan belum ada waris datang menuntut mayat setakat ini.
“Mengikut keterangan awal yang diambil, suspek tidak mengenali si mati kerana hanya menemuinya di Brumas semasa meminta izin untuk menumpang ke Merotai,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penunggang motosikal dalam perjalanan dari Bandar Tawau menuju ke rumahnya di Lorong Seri Delima, Merotai Besar, sebelum kejadian.
Bagaimanapun, pemandu kereta yang datang dari arah Kalabakan menuju ke Bandar Tawau dikatakan secara tiba-tiba memasuki lorong kanan dari arah hadapan motosikal.
“Akibat kejadian itu juga, penunggang motosikal tidak sempat untuk mengelak dan terlanggar di bahagian penumpang hadapan kereta terbabit,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini polis masih menyiasat kes kemalangan berkenaan dan membuka kertas siasatan menerusi Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.