Anda di sini

Menuju impian Malaysia Baharu

Advertisement


 

MENUJU IMPIAN: Ma'mun semasa ditemu ramah Utusan Borneo di pejabatnya, di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan Tawau.

PILIHAN Raya Umum (PRU) ke-14 menjadi saksi perubahan landskap politik tanah air apabila kepimpinan kerajaan pusat bertukar tampuk untuk pertama kalinya dalam sejarah negara.

Parti Barisan Nasional (BN) yang mendominasi tampuk kepimpinan pentadbiran Kerajaan Persekutuan selama ini akhirnya terpaksa akur dengan kehendak rakyat.

BN ditumbangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menerusi gabungan Pakatan Harapan (PH).

Kejayaan PH juga hasil kecemerlangan Parti Warisan Sabah (WARISAN) di Sabah, dan penyertaan Parti Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) daripada BN.

PASCA-PRU KE-14

Selepas 15 bulan berada di tampuk pentadbiran negara, kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakan-rakannya diuji dengan pelbagai isu, antaranya, kelembapan ekonomi, penurunan ketara harga kelapa sawit sebagai komoditi utama sumber pendapatan negara dan kemelut hutang negara.

Pemimpin-pemimpin dari Kepulauan Borneo juga lantang membuat tuntutan berterusan terhadap Perjanjian Malaysia berkaitan Perkara 20 Sabah dan Perkara 18 Sarawak.

Sementelah, rakyat Malaysia semakin galak berkongsi suara mereka di pelbagai platform khususnya di ruang langit terbuka rangkaian media sosial seperti Twitter dan Facebook.

Malah, ada sahaja isu-isu sensitif yang mudah menyentuh rasa dan emosi masyarakat majmuk melibatkan pelbagai agama dan kaum, galak bertebaran dalam dunia siber.

Dalam aspek keselamatan, isu pertahanan negara terus diperdebat khususnya kawalan di sempadan serta keberkesanan langkah menangani isu dua hala dengan negara luar.

Pada masa sama, negara turut menerima tekanan-tekanan daripada negara luar melibatkan pelbagai isu dua hala khususnya dalam aspek ekonomi, perdagangan dan keselamatan.

TRANSISI

Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman menyifatkan kesemua perkembangan itu sebagai proses transisi membina sebuah negara bangsa dengan model Malaysia Baharu.

“Selepas kejayaan menumbangkan kerajaan lama, sekarang kita memasuki proses pembelajaran sebagai kerajaan baharu dan banyak perkara yang perlu atau cuba diubah.

“Cuma mungkin kerana kekurangan pengalaman dan kekangan kewangan sedikit membantutkan perubahan yang hendak dicapai,” katanya kepada Utusan Borneo.

Walaupun fokus semasa pentadbiran kerajaan adalah untuk membayar hutang negara, namun beliau optimis kerajaan hari ini berada pada landasan yang betul.

Pada masa sama, beliau teruja kerana rakyat hari ini disifatkannya sudah berani bersuara menerusi pelbagai platform terbuka, berbanding semasa era kerajaan terdahulu.

Ditanya konsep pentadbiran kerajaan hari ini pula, Ma’mun berkata, suara akar umbi lebih diutamakan kerana Malaysia Baharu mengamalkan konsep ‘dari bawah ke atas’.

Beliau optimis walaupun Malaysia masih lambat mencapai status negara maju seiring Wawasan 2020, namun paling penting urus tadbir dijalankan dengan telus dan bersih.

“Bukan hanya rakyat atau media, tetapi kita sesama pemimpin juga saling memerhatikan antara satu sama lain dan wujud keterbukaan dalam memberi atau menerima teguran. 

“Tetapi kita perlu wujudkan suasana politik yang stabil untuk membolehkan negara dibangunkan dengan baik, sulit jika hari-hari kita berbicara mengenai politik,” katanya.

PENYATUAN KAUM

Sebagai sebuah negara yang ditadbir kepimpinan baharu, kestabilan politik juga membolehkan perancangan dan pengelolaan agenda besar untuk rakyat dijalankan.

“Sungguhpun begitu, semua orang perlu celik politik kerana keselamatan dan kestabilan negara juga akan berbalik kepada situasi politik di dalam sesebuah negara,” katanya.

Menyentuh hal berkaitan, beliau menggesa supaya penyatuan rakyat sebagai masyarakat majmuk yang berbilang agama, bahasa dan budaya dapat dieratkan dengan harmoni.

Penyatuan kaum dilihat kunci utama untuk keamanan negara bahkan faktor penting yang membolehkan negara terus berkembang secara positif meliputi pelbagai bidang.

“Alhamdulillah semenjak Malaysia berada di bawah kepimpinan pentadbiran kerajaan baharu, kita boleh lihat bahawa penyatuan kaum berlaku dan tidak ada isu kritikal.

“Kita tidak nafikan memang ada isu, tetapi tidaklah membuatkan orang ramai keluar berdemonstrasi keterlaluan hingga mengakibatkan keamanan negara terancam,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, semua orang berhak diberi peluang berjuang untuk mencapai impian masing-masing, tanpa mengira warna kulit atau pegangan agama.

Setiap rakyat juga disaran untuk berani berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan semata-mata sebaliknya berusaha bekerja keras dengan lebih kreatif.

TUNTUTAN PERJANJIAN

Ma’mun berkata, perjuangan mendapatkan hak-hak Sabah dan Sarawak yang belum dinikmati sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia akan terus diperjuangkan.

“Langkah ini penting kerana Sabah misalnya masih terus ketinggalan berbanding negeri-negeri di Semenanjung dan sudah tentu kita tidak mahu berterusan begini.

“Selepas 56 tahun membentuk gagasan mulia ini, cerita di Sabah masih berkaitan fasiliti dan kita berhadapan cabaran menarik pelabur jika tidak memiliki prasarana yang baik.

“Perdana Menteri bersetuju fasiliti penting untuk menarik kedatangan pelabur ke sesebuah tempat, sebab itu kita harap Kerajaan Persekutuan memberi perhatian serius.

“Seperti di Kalabakan, kita mahu wujudkan Zon Ekonomi Khas tetapi berhadapan kesukaran kerana ketiadaan fasiliti yang mencukupi untuk menarik pelabur,” katanya.

Ma’mun percaya perancangan kerajaan untuk menstruktur semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan menukar peralatan yang rosak sebagai penting.

“Kita percaya dengan ESSCOM dan kerajaan mahu meningkatkan keberkesanannya dalam memastikan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) terjaga.

“Aspek keselamatan amat penting dititikberatkan di Sabah, lebih-lebih lagi apabila Filipina masih lagi berhasrat untuk membuat tuntutan terhadap negeri kita,” katanya.

Beliau percaya pembangunan Sabah sebagai negeri yang mempunyai banyak hasil bumi, sumber gas dan emas serta tanah yang subur mempunyai masa hadapan yang baik.

Sungguhpun demikian, Ma’mun berharap isu-isu seperti 707 sekolah daif di negeri ini perlu diatasi segera untuk membolehkan anak Sabah menikmati pendidikan lebih baik.

“Kita tidak mahu dengar sudah ada anak Sabah yang sukar mendapatkan kerja sehingga terpaksa diturunkan grednya dan kita mahu mempunyai fasiliti pendidikan yang canggih.

“Kita mahu anak-anak Sabah bersaing di gelanggang yang lebih adil dengan anak-anak dari negeri lain dan peluang diberikan sewajarnya kepada generasi kita,” katanya.

Dalam hal berkaitan, beliau percaya Sabah bertuah kerana mempunyai Ketua Menteri yang mempunyai agenda jelas menyatukan rakyat berbilang bangsa dengan saksama.

TERUS BERSATU

Menyentuh mengenai harapannya selaku salah seorang Wakil Rakyat pula, Ma’mun berkata, rakyat di negara ini tidak boleh selesa dengan pencapaian dan keamanan negara.

Beliau percaya rakyat perlu memberikan reaksi yang betul dan menjaga keamanan bersama-sama tanpa sebarang curiga atau saling dendam antara satu sama lain.

”Kita harap kerajaan yang dimiliki hari ini mempunyai urus tadbir yang baik, telus dan tidak mengamalkan rasuah serta mampu bersatu dengan rakyat tanpa sebarang prejudis.

“Kita sudah mempunyai asas penyatuan yang baik, namun perlu bangkit mewujudkan kerajaan yang lebih baik dan negara yang indah untuk kita wariskan,” katanya.

Usia 15 bulan untuk Kerajaan Persekutuan atau Negeri hari ini mungkin terlalu muda dan tidak adil untuk kita bandingkan dengan pencapaian kerajaan yang terdahulu.

Bagaimanapun, kita mempunyai negara yang sudah berusia 56 tahun dan menjadi tempat berpayung rakyat yang berbeza keturunan, agama dan ideologi politik dengan aman.

Sekalipun, isu-isu yang mencabar kewarasan dalam tindakan akan muncul sepanjang perjalanan, namun rakyat Malaysia perlu bersiap siaga mendepani sebarang perubahan.

Seperti kata Ketua Daerah Tawau Akhmad Monggoh, rakyat perlu kekal bersatu demi memastikan keamanan, keselamatan dan keutuhan bangsa terus dinikmati.
 

  • oleh
  • Advertisement