Anda di sini

Malaysia Yap tetap ingin menggapai impian di usia emas

Advertisement
 Malaysia Yap yang makin berusia berbangga mempunyai nama yang unik bersempena nama negara tercinta.
BANGGA: Malaysia Yap yang makin berusia berbangga mempunyai nama yang unik bersempena nama negara tercinta.

MALAYSIA Yap, 56, mendapat nama istimewa itu bersempena tarikh kelahirannya 16 September, 1963 daripada pejuang kaum Melayu di Kampung Nanas, Simunjan bernama Allahyarham Udin Matasan.

Allahyarham Udin merupakan datuk kepada Malaysia Yap yang juga anggota tegar Parti Negara Sarawak (PANAS), salah satu parti dalam gabungan Parti Perikatan Sarawak dahulunya.

Menurut beliau, dia terpisah dengan datuknya selepas ibunya berkahwin semula sewaktu masih kecil dan dibawa berhijrah ke kawasan Samariang, Kuching.

Sebelum berpindah ke Kuching, beliau sempat bersekolah sehingga darjah 2 di Abang Man School, Simunjan dan kemudiannya bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan di Kubah Ria.

Mengimbau kembali zaman remajanya, beliau sering diejek kerana dikatakan memiliki nama yang pelik.

Disebabkan berasa marah dan malu dengan panggilan Malaysia, beliau sering berang dan kadangkala membawa kayu mengejar mereka yang mengejeknya.

Beliau dirapati seorang rakan bernama Lela Sapiee yang selalu memberi kata perangsang pada dirinya dan kemudian berkahwin dengan pasangannya, Abdul Talib Yusup pada 1983.

Selepas berkahwin, beliau tidak lagi begitu mempedulikan dengan ejekan orang ramai terhadap dirinya sebaliknya menyertai pergerakan wanita di kampung.

Kini selepas berhempas pulas menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan pergerakan, beliau berasa penat untuk berjuang seperti dahulu kerana usia sudah menghampiri senja.

Kata beliau, kini beliau memberi peluang kepada golongan belia untuk mencuba nasib memperjuangkan nasib rakyat dan jika diminta membantu beliau tidak keberatan menghulurkan kudrat.

 Malaysia Yap menunjukkan gambar beliau bersama rakan-rakan lain di sini yang mempunyai nama yang sama dengannya.
KENANGAN: Malaysia Yap menunjukkan gambar beliau bersama rakan-rakan lain di sini yang mempunyai nama yang sama dengannya.

Hidup beliau bagaimanapun semakin sukar selepas suami tercinta disahkan mengalami Parkinson's dan hilang punca pendapatan keluarga dengan tanggungan tujuh anak pada masa itu.

Akibat terdesak beliau melakukan semua jenis pekerjaan yang termampu seperti mengambil upah membersihkan rumah, mengurut perbidanan dan tradisional atau membuat kerja-kerja kebun.

Kadangkala beliau dan jirannya akan menaiki bas untuk mencari sayur di hutan atau di mana-mana sahaja untuk dijual kepada penduduk kampung.

Rumah yang dibina hasil daripada bantuan kerajaan negeri secara bergotong-royong juga semakin tua dan berlubang sana sini.

Justeru beliau memohon sekiranya terdapat golongan yang baik hati yang mahu menghulurkan bantuan untuk membantunya membaik pulih rumahnya.

Malaysia Yap sedih apabila ditanya perihal sambutan hari kelahirannya kerana beliau sebenarnya mahu menghiasi rumahnya dengan banyak bendera Malaysia dan bendera negeri Sarawak tetapi tidak berkemampuan.

Katanya, sepanjang hidupnya hanya pernah diraikan di majlis yang dianjurkan kerajaan negeri atau persekutuan bersama anak merdeka yang lainnya di seluruh negara.

Bagaimanpun Malaysia berasa amat bersyukur walaupun sekadar menerima ucapan Selamat Hari Jadi sudah memadai bagi dirinya.

"Terkilan juga rasa apabila masa diperlukan dan dipanggil, kita akan hadir serta meninggalkan suami yang tidak sihat dan cucu di rumah berseorangan.

"Tetapi bila tiba masanya kita memerlukan, tiada siapa yang mempedulikan nasib diri ini," katanya dalam nada sedih.

Walaubagaimanapun, beliau tetap bersyukur kerana pernah menerima sumbangan peribadi daripada beberapa individu yang baik hati sebelum ini.

Beliau meminta sekiranya kerajaan negeri atau persekutuan menghulurkan bantuan dengan membina sebuah ruangan mengurut di dalam kawasan rumahnya di Lorong 5, Kampung Temenggong Haji Gobil.

"Cita-cita semasa kecil mahu menjadi jururawat tetapi tidak kesampaian disebabkan tidak bersekolah tinggi seperti orang lain, mudahan saya berupaya mencari rezeki dengan mengurut.

"Kemahiran ini saya warisi daripada orang tua dan sekiranya dipelawa untuk menghadiri kursus dan sebagainya berkaitan urutan saya mungkin akan pergi," katanya.

Beliau kini setiap hari sibuk menjaga suaminya yang sakit dan seorang cucu lelaki berumur setahun dua bulan bernama Arash Halim.

Mak Yo merupakan nama panggilan beliau sebagai seorang bidan di  dalam kawasan Sukma.

Beliau semasa pertemuan dengan Utusan Borneo mendakwa kadangkala berasa terpinggir kerana dipulaukan masyarakat sekeliling di kampung atau di surau.
 

  • oleh
  • Advertisement