Anda di sini

Malaysia Sahat bangga namanya abadikan sejarah negara

 Malaysia Sahat dari Kampung Endap berdiri di anjung rumahnya yang dihiasi dengan warna-warni bendera yang menunjukkan semangat patriotiknya.
BANGGA: Malaysia Sahat dari Kampung Endap berdiri di anjung rumahnya yang dihiasi dengan warna-warni bendera yang menunjukkan semangat patriotiknya.

NAMA istimewa Malaysia Sahat, 56, diberikan oleh bapanya Sahat Sonong dan ibunya Allahyarham Rabayah Sariee dari Kampung Endap, Kuching.

Malaysia Sahat pernah bertanya kepada bapanya mengapa diberikan nama sedemikian dan beliau diberitahu bahawa beliau lahir pada detik 12 tengah malam, saat bendera dinaikkan dengan meriam melepaskan 12 das tembakan.

Bapanya Sahat kini sudah berusia 85 tahun dan tidak dapat bergerak kerana semakin berusia.

Malaysia dilahirkan di Hospital Umum Sarawak, tidak mempunyai pekerjaan tetap namun mempunyai hobi menanam bunga.

Bahkan sewaktu menelusuri jalan ke rumahnya, Utusan Borneo terpegun dengan betapa banyaknya Jalur Gemilang dan bendera negeri Sarawak dikibarkan di sana sini.

Laman rumahnya sederhana tetapi sejuk mata memandang dan telah menjadi kebiasaan keluarganya melihat beliau menghiasi laman rumahnya dengan pelbagai saiz bendera bermula 31 Ogos sehingga 16 September setiap tahun.

Apabila ditanya beliau mengakui seronok melihat banyak bendera di kawasan rumahnya, lebih-lebih lagi apabila tiba hari kelahirannya walaupun hanya disambut secara kecil-kecilan bersama ahli keluarga tercinta.

Isterinya Fatimah Awang Ali, 54, sentiasa menyokong kehendak suaminya dan kadangkala keluar membantu suaminya menggantung bendera di halaman rumah.

 Malaysia ditemani Fatimah menggantung lebih banyak bendera di halaman rumahnya
BERSEMANGAT: Malaysia ditemani Fatimah menggantung lebih banyak bendera di halaman rumahnya

Mempunyai nama bersempena dengan nama negara membuatkan beliau bangga sewaktu mudanya namun kini sejak semakin berusia beliau mulai berasa segan dipanggil Malaysia.

Beliau tidak dapat mengingati tentang kepayahan hidup sewaktu masa kecilnya, cuma berkongsi pengalaman kemajuan yang dikecapi kini berbeza daripada zaman dahulu.

Sudah dua kali Malaysia dipelawa untuk dibawa ke ibu negara untuk diraikan bersama anak merdeka yang lainnya namun beliau mengakui takut untuk menaiki pesawat dan gayat berada di tempat yang tinggi.

Malaysia yang dikurniakan empat anak bersama Fatimah bagaimanapun tabah menyara keluarga dengan bekerja kontrak, berkebun atau menerima upah untuk membuat segala jenis pekerjaan.

"Dalam setahun berbelanja sekitar RM30 sehingga RM40 untuk membeli bendera, seronok berkumpul bersama anak dan keluarga dengan ucapan dan sekadar minum oren sudah memadai," katanya.

Beliau secara perlahan-lahan mengatur kehidupan untuk membina rumah bagi keluarganya dan tidak pernah patah semangat.

Malaysia juga berbakat menggunakan barangan yang boleh dikitar semula untuk menghias laman rumahnya.

Bersempena hari lahirnya tahun ini, beliau meluahkan hasrat untuk memakai baju Melayu dan songkok berasaskan Jalur Gemilang dan bendera negeri.

"Kalau keinginan di hati dapat ditunaikan untuk menyarungkan baju Melayu dengan corak rekaan bendera Malaysia dan negeri Sarawak pada hari lahir nanti mesti seronok," katanya kepada Utusan Borneo.

Hasrat dan pesanan beliau cuma mahu setiap hari lahirnya walaupun selepas ketiadaannya nanti agar anak-anaknya menggantung bendera seperti mana yang dilakukannya selama ini.