Anda di sini

Kerajaan terus komited bangunkan semua PBT di Sabah

Advertisement
 Jaujan (duduk, enam kanan), George (duduk, lima kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan bersama ahli Majlis Daerah Nabawan.
KENANGAN: Jaujan (duduk, enam kanan), George (duduk, lima kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan bersama ahli Majlis Daerah Nabawan.

NABAWAN: Kerajaan akan terus komited untuk membangunkan semua daerah di Sabah berdasarkan konsep tersendiri yang terdapat pada setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, agenda pembangunan setiap PBT yang ingin dicapai itu bukan retorik semata-mata, sebaliknya akan direlialisasikan agar masyarakat khususnya di luar bandar tidak ketinggalan dari arus kemajuan ekonomi.

"PBT hijau khususnya di sini dan Tongod adalah antara usaha kita dan pembangunan seumpamanya adalah terbaik dan merupakan yang pertama di negara ini.

"Ini bukan sekadar cerita sahaja, Nabawan dan Tongod mempunyai kekayaan dari segi khazanah alam serta kita tidak akan merosakkan kehijauan ini," katanya ketika menyampai ucapan sempena lawatan rasmi beliau ke Nabawan sempena persediaan PBT Hijau, di sini kelmarin.

Beliau berkata, kekayaan alam sekitar di sini perlu dikekalkan dan dipulihara bagi memastikan ia dapat dijadikan punca sumber ekonomi masyarakat setempat.

Katanya, bukit yang terdapat dalam daerah ini jangan 'dibotakkan' dan perlu dikekalkan dalam usaha bagi menjadikan Nabawan sebagai destinasi tarikan pelancongan.

"Nanti apabila PBT hijau di sini dan Tongod dilancarkan, ini akan menjadi sejarah kepada kita kerana ia menjadi PBT pertama di Malaysia mengamalkan pembangunan PBT hijau," katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, pembangunan PBT hijau akan dilaksanakan secara tersusun, komprehensif dan terancang dengan mengekalkan alam persekitaran.

Katanya, pembangunan seumpamanya di PBT Nabawan dan Tongod dilaksanakan agar ia mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Hadir sama ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan George Hiew.

  • oleh
  • Advertisement