Anda di sini

Kerajaan Sabah terus komited kurangkan kawasan setinggan

 Jaujan (tengah) menerima taklimat mengenai PPR Tagasan Semporna.
TAKLIMAT: Jaujan (tengah) menerima taklimat mengenai PPR Tagasan Semporna.

KERAJAAN Sabah akan terus komited untuk mengurangkan kawasan setinggan di seluruh negeri dalam usaha menyediakan kemudahan asas kepada para penduduknya.

Kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) juga akan meneliti secara terperinci bagi menggunakan konsep terbaik untuk membina rumah di kawasan setinggan yang musnah dalam kebakaran.

Kerajaan Sabah menerusi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) sentiasa berusaha untuk membangunkan rumah mampu milik kepada semua rakyat berpendapatan rendah dalam negeri ini.

Untuk isu rumah setinggan di negeri ini, kerajaan Sabah memerlukan kerjasama daripada Jabatan Tanah dan Ukur untuk membuat kajian di setiap kawasan setinggan yang layak untuk digazetkan sebagai perkampungan.

Dalam laporan berita, Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong dipetik berkata, usaha itu penting bagi membolehkan usaha menyambung bekalan elektrik dan air secara sah ke perkampungan berkenaan.

"Keadaan itu penting dalam usaha kita mengelakkan daripada masalah kebakaran akibat daripada aktiviti penyambungan elektrik secara haram.

"KKTP sudah mengadakan perjumpaan dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menangani masalah setinggan yang tidak mendapat bekalan elektrik dan air secara sah," katanya.

 Jaujan meninjau kerosakan yang dihadapi oleh PPR Selagon, Beaufort.
KEROSAKAN: Jaujan meninjau kerosakan yang dihadapi oleh PPR Selagon, Beaufort.

Beliau berkata, seperti yang dijelaskan oleh Ketua Menteri, kerajaan perlu membantu kawasan setinggan agar digazetkan sebagai sebuah perkampungan.

Mengikut akta atau ordinan, mana-mana tempat yang tidak diisytiharkan sebagai perkampungan, penempatan itu tidak layak untuk dibekalkan elektrik dan air.

Katanya, Sabah kini mempunyai banyak setinggan di kesemua 25 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya di Semporna, Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Sepanggar.

"Pihak Jabatan Tanah dan Ukur bersama KKTP bersama pimpinan peringkat akar umbi kampung perlu memberikan kerjasama penuh.

"Kita kena lihat sekiranya tanah itu dimiliki kerajaan tetapi kawasan itu masih dianggap setinggan, saya akan senaraikan semua status kampung itu dan dibawa ke Kabinet," katanya.

Sementara itu, Jaujan yang juga menteri KKTP berkata, untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang sahaja, sehingga kini sebanyak 5,453 rumah mampu milik telah dan sedang dibina.

 Jaujan (lima kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani Memo Penyerahan PPR Merotai, PPR Gayang dan PPR Kota Marudu daripada KPKT kepada KKTP yang diwakili Setiausaha Tetap Masnah Matsalleh (tiga kiri), daripada Jabatan Perumahan Negara diwakili Timbalan Ketua Pengarah Dr Alauddin Sidal (tiga kanan).
SERAH: Jaujan (lima kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani Memo Penyerahan PPR Merotai, PPR Gayang dan PPR Kota Marudu daripada KPKT kepada KKTP yang diwakili Setiausaha Tetap Masnah Matsalleh (tiga kiri), daripada Jabatan Perumahan Negara diwakili Timbalan Ketua Pengarah Dr Alauddin Sidal (tiga kanan).

Katanya, jumlah keseluruhan itu menjadikan kawasan itu sebagai DUN paling banyak dibina rumah-rumah mampu milik.

"Kesemua rumah kos rendah berkenaan dijual pada harga antara RM25,000 sehingga RM47,000 seunit.

"Kesemua rumah ini sudah dijual sepenuhnya kepada golongan setinggan dan berpendapatan rendah.

"Kesemua rumah berkenaan dilaksanakan oleh KKTP melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB).

"KKTP juga telah membina sebanyak 80 unit rumah ERHP (Economic Rental Housing Programme) dengan sewa bulanan RM170 sebulan khas untuk golongan ini," katanya.

Beliau berkata, KKTP dengan kerjasama Jabatan Perumahan Negara (JPN) telah membina sejumlah 1,805 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan DUN Kawang.

 Jaujan (dua kiri) meninjau keadaan PPR Kibabaig.
TURUN PADANG: Jaujan (dua kiri) meninjau keadaan PPR Kibabaig.

Katanya, rumah terbabit telah diperuntukkan sepenuhnya pemohon yang layak dengan sewa bulanan RM150 sebulan.

"Program rumah seumpamanya telah memberikan manfaat kepada sejumlah 3,478 isi rumah golongan setinggan dan berpendapatan rendah.

"PPR yang telah dibina adalah Taman Segindai Kinarut, PPR Kampung Anak Kinarut dan PPR Taman Kinarut Ria," katanya.

Jaujan berkata, usaha juga dipertingkatkan untuk melihat keperluan perumahan untuk golongan penjawat awam dan M40 khususnya di kawasan DUN Kawang.

Katanya, KKTP menerusi LPPB telah dan sedang membina sebanyak 1,296 unit rumah untuk penjawat awam secara berfasa dan dijangka siap sepenuhnya pada 2021.

"KKTP juga sedang membina sebanyak 502 unit rumah jenis apartmen di bawah Program Perumahan Rakyat Harapan Malaysia (dulu dikenali PRIMA) dan sebanyak 522 unit rumah dua tingkat khas untuk golongan berkenaan.

"Sebanyak 55 unit rumah teres dua tingkat telah dan sedang dibina oleh pihak LPPB di kawasan DUN Kawang.

"Jumlah keseluruhan untuk golongan penjawat awam dan M40 di DUN Kawang sahaja adalah sebanyak 2,375 unit rumah," katanya.

Katanya, KKTP kini sedang merancang untuk membina 1,679 unit rumah teres satu tingkat di Beringis dan 1,000 unit rumah mampu milik di Kinarut.

"Kementerian saya sedang mengenalpasti tapak-tapak sesuai untuk program perumahan rakyat yang lain agar keperluan perumahan di DUN Kawang dan negeri ini keseluruhan dapat ditunaikan.

Selain itu katanya, sejumlah 1,308 unit PPR akan diisi oleh rakyat Sabah selepas termeterainya Memorandum Penyerahan PPR di antara Jabatan Perumahan negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan KKTP. 

Katanya, penyerahan itu melibatkan PPR Merotai Tawau (470 unit), Kota Marudu (420 unit) dan Gayang 1 Tuaran (418 unit).

"Kita akan meneliti setiap permohonan, kita hanya akan membenarkan mereka yang benar-benar layak, mencukupi syarat serta peraturan untuk menduduki rumah ini.

"Dijangka sebanyak 7,000 pemohon PPR di ketiga-tiga tempat itu akan ditapis, sejak 2001 sehingga tahun ini, terdapat 30 projek PPR sudah siap, tujuh dalam pembinaan dan tiga lagi masih dalam perancangan.

"Kesemua PPR siap dan sedang disiapkan adalah berjumlah 25,449 unit.

"Tiga projek yang masih dalam perancangan itu sedang diteliti lokasinya di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Jaujan turut menegaskan bahawa tindakan pemilik rumah mampu milik yang menyewakan kemudahan itu kepada orang lain dinasihatkan supaya mengembalikan rumah berkenaan kepada kerajaan sebelum tindakan tegas diambil.

Katanya, pihaknya kini mempunyai bukti terhadap pemilik terbabit dan dalam proses melaksanakan tindakan 'pemutihan' terhadap kesemua pesalah ini.

Selain itu, kesemua 25 PBT kini juga berkuasa untuk menentukan pembangunan di kawasan masing-masing bagi memastikan kemajuan dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa perlu menunggu keputusan daripada 'central board'.

Kesemua Ahli Majlis Daerah yang dilantik mempunyai tanggungjawab untuk menghadirkan diri ke mesyuarat yang diadakan bagi mencapai persetujuan mengenai pembangunan di kawasan masing-masing.

Jaujan turut mengingatkan para ahli majlis yang gagal untuk menjalankan tanggungjawab itu akan ditukar serta merta dan digantikan dengan calon berpotensi yang lain.

Bagaimanapun, Jaujan menegaskan para ahli majlis yang diberikan amanah itu tidak dibenarkan untuk terlibat dalam mendapatkan kontrak pembangunan.

"Mereka ditugaskan dalam majlis daerah untuk berfikir, merancang dan membantu, itulah tanggungjawab ahli majlis.

"Menjadi ahli majlis bukan untuk tempat mencari keuntungan, tugas mereka adalah merancang pembangunan dari segi ekonomi agar penduduk di kawasan masing-masing mampu menikmati kemajuan itu," katanya.

Jelasnya, ahli majlis yang didapati melanggar kepercayaan yang diberikan itu akan dipecat serta merta.