
TENOM: Kerajaan negeri tidak seharusnya sewenang-wenangnya mengambil keputusan untuk menutup operasi mesin slot yang terdapat di Sabah.
Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun berkata, walaupun wujudnya tanggapan negatif terhadap operasi mesin slot, kewujudan aktiviti berkenaan adalah berdasarkan lesen dan cukai yang dibayar, serta menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
"Mesin slot juga menyumbang kepada ekonomi tempatan dalam pelbagai cara dalam membangunkan bandar-bandar di Sabah," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS Cawangan Malalap, di sini kelmarin.
Beliau sendiri tidak menyokong aktiviti perjudian atau menentang keputusan kerajaan negeri mengenai perkara itu, tetapi beliau bimbang akan isu pekerjaan serta perniagaan yang menyediakan bekalan kepada premis-premis terbabit.
"Saya hanya mengatakan kita harus melakukan perkara ini dengan cara yang tidak menyebabkan kesusahan kepada khalayak ramai.
"Menutup operasi mesin slot boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini terhadap pekerja, pembekal perkhidmatan, pengunjung dan pelancong serta ekonomi setempat," katanya.
Katanya, pemilik premis turut sudah melakukan pelaburan yang banyak dalam perniagaan itu dan perlu diberikan masa mengenai tindakan tidak memperbaharui lesen mesin slot.
Menurutnya, satu tempoh mencukupi perlu diberikan agar mereka boleh membuat keputusan untuk menutup premis mesin slot atau menjalankan perniagaan semula tanpa melibatkan perjudian itu.
Johnny juga ingin melihat aktiviti perjudian terbabit ditamatkan di Sabah yang sudah bermula bertahun lamanya di sini tetapi janganlah terburu-buru dengan amalan tegas itu.
"Amakanlah konsep bertolak ansur dalam perkara ini, kerajaan harus menerima fakta bahawa masyarakat terdiri daripada pelbagai jenis sikap dan mereka perlu diberikan kelonggaran," katanya.
Beliau juga bersetuju dengan pendapat Presiden Pertubuhan Barisan Pengguna Sabah (CFOS) Nordin Thani yang mengatakan pemberhentian pembaharuan lesen mesin slot akan membolehkan lebih banyak aktiviti perjudian 'gelap' diwujudkan.
Katanya, adalah baik kerajaan sekarang tidak terlebih idealistik dengan perkara itu, sebaliknya perlu memantau secara ketat dan mengawal aktiviti berkenaan.