Anda di sini

Industri pelancongan Sabah terus berkembang

 Taman Laut Tunku Abdul Rahman.
INDAH: Taman Laut Tunku Abdul Rahman.

NEGERI Sabah memiliki 57 lokasi pelancongan menarik dan kaya dengan alam semula jadi terutamanya di pulau-pulau, pusat penjagaan hidupan liar dan kawasan Taman Negara yang menjanjikan keindahan hutan belantara Borneo.

Negeri di bawah bayu ini juga mempunyai keunikan pelbagai suku kaum dan etnik dengan kepelbagaian kebudayaan serta kesenian, yang merupakan tarikan pelancong untuk mendalami tentang keunikan penduduk di Sabah daripada pelbagai aspek.
 
Sebanyak 57 destinasi pelancongan itu merupakan paling popular dan berbaloi diterokai oleh para pelancong seperti Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Pulau Mantanani, Pulau Langkayan, Gunung Kinabalu, Desa Cattle Dairy Farm Kundasang, Taman Negara Kinabalu, Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Pusat Tanah Lembab Kota Kinabalu (KKWC), Kampung Kebudayaan Monsopiad, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC) Sepilok, Pulau Sipadan, Pulau Mabul, Spa Ikan Sungai Moroli, Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary, Taman Pulau Penyu (Selingan), Pulau Layang-Layang, Kolam Air Panas Poring, Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo, Pulau Bohey Dulang, Pulau Mataking, Pulau Sipadan-Kapalai, Tamu Ahad Jalan Gaya, Taman Pulau Tiga dan Gua Gomantong.

Tidak ketinggalan Weston Proboscis Monkey & Firefly River Cruise, Kawasan Konservasi Lembangan Maliau, Kampung Kebudayaan Mari Mari, Hutan Simpan Bukit Gemok, Balung River Eco Resort, Pasar Malam KK (Pasar Malam Sinsuran), Pasar Filipina KK, Signal Hill Observatory Platform, Kokol Hill, Masjid Negeri Sabah, Pantai Tanjung Aru, Sabah Indoor Climbing Centre, Kereta api Borneo Utara, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Muzium Negeri Sabah, Tugu Peringatan Perang Kundasang, Ladang Teh Sabah, Tandem Paragliding Park Ranau, Taman Peringatan Sandakan, Rumah Agnes Keith, Taman Bukit Tawau, Klias Wetland River Cruise, Rizab Hidupan Liar Tabin (TWR) Lahad Datu, Akuarium dan Muzium Marin di Universiti Malaysia Sabah, Kawasan Konservasi Lembah Danum, Sungai Kinabatangan, Pasar Tanjung Tawau, Tanjung Aru Perdana Park, Tamu Pekan Beaufort, Borneo Quad Biking di Tuaran, Kiulu White Water Rafting dan Rumah Terbalik Tamparuli.

Industri pelancongan Sabah pada tahun 2018 merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah dengan kutipan hasil sebanyak RM8.342 bilion.

 Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok.
SELAMAT DATANG: Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok.

Mengikut rekod Lembaga Pelancongan Sabah, jumlah kedatangan pelancong turut mencatatkan rekod tertinggi iaitu seramai 3,879 juta pelancong.

Daripada jumlah itu, kedatangan pelancong telah meningkat sebanyak 5.3 peratus sepanjang 2018 dan hasil pelancongan turut meningkat 6.6 peratus berbanding hasil kutipan RM7.82 bilion pada 2017.

Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah berharap dapat meningkatkan lagi kedatangan pelancongan ke Sabah dari tahun ke tahun bagi menjana pendapatan negara serta menjadikan Sabah sebagai pusat destinasi pelancongan yang terkemuka bertaraf dunia.

Kementerian berkenaan juga akan terus mengadakan program dengan kerjasama semua pihak bagi mempromosikan kebudayaan, seni, adat, warisan, sejarah serta flora dan fauna negeri Sabah kepada pelancong dari dalam mahupun luar negara.

CHRISTINA
CHRISTINA

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew telah mengarahkan Majlis Tindakan Pelancongan di 26 daerah di negeri ini diaktifkan.

Beliau berkata, sebahagian besar daerah di Sabah mempunyai Majlis Tindakan Pelancongan yang ditubuhkan dengan bantuan dan sokongan Lembaga Pelancongan Sabah.

Katanya, setiap majlis tindakan itu bertanggungjawab mengenal pasti dan membangunkan produk masing-masing untuk manfaat daerah dan masyarakat mereka.

"Pada tahun baharu, lebih banyak pelancong dijangka datang ke sini melalui penerbangan biasa serta penerbangan disewa khas, dan kita boleh bayangkan pendapatan juga dijangka meningkat.

"Ini salah satu cara kita dapat meningkatkan ekonomi di daerah-daerah.

"Kita juga mahu keseimbangan pelancongan di Sabah, bukan hanya memberi tumpuan di Kota Kinabalu, Gunung Kinabalu dan pulau tetapi di seluruh daerah," katanya.
 

 Rumah Terbalik Tamparuli.
UNIK: Rumah Terbalik Tamparuli.


Christina berkata, Pelancongan Berasaskan Komuniti mempunyai peluang cerah kerana ia dapat meningkatkan kesemua daerah dan bandar menjadi entiti perniagaan yang boleh menyumbang kepada ekonomi negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi kementeriannya boleh menyediakan infrastruktur diperlukan kepada semua daerah bagi memastikan pengalaman melancong ke negeri ini lebih selesa dan menarik.

"Setelah Majlis Pelancongan Daerah mengenal pasti produk, jika mereka mahu melakukan promosi terhadap produk pelancongan masing-masing, mereka boleh terus berhubung dengan kami (kementerian).

"Pegawai kami akan bekerjasama dengan mereka," katanya.

Christina yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mahu memastikan pembangunan industri pelancongan dilaksanakan secara menyeluruh di Sabah.

 Tanjung Aru Perdana Park.
AIR MENARI: Tanjung Aru Perdana Park.

Terbaharu, syarikat penerbangan Royal Brunei Airlines (RB) mengumumkan bakal memperluaskan lagi rangkaian perkhidmatannya menerusi RB Link ke destinasi baharu Sandakan dan Tawau.

Ini akan lebih merancakkan lagi industri pelancongan di pantai timur Sabah. RB akan memulakan operasi di Sandakan bermula pada 28 Oktober dan Tawau pada 11 November tahun ini.

Tiket untuk kedua-dua laluan berkenaan mula dijual pada harga promosi bermula RM265.

RB memulakan perkhidmatan untuk RB Link bagi menghubungkan Brunei dengan bandar-bandar utama di Borneo pada 31 Julai lepas.

RB Link kini telah memulakan operasi dengan tujuh destinasi termasuklah Kota Kinabalu dan Kuching.

Sebanyak lima lagi destinasi baharu diperkenal termasuklah untuk laluan Sandakan dan Tawau.

 Menyusuri Sungai Kinabatangan.
TARIKAN PELANCONG: Menyusuri Sungai Kinabatangan.

Penerbangan menggunakan RB Link beroperasi setiap Isnin, Jumaat dan Ahad pada jam 1.30 petang dari Bandar Seri Begawan ke Sandakan dan jam 3.05 petang dari Sandakan ke Bandar Seri Begawan.

Pada Selasa, Rabu dan Sabtu, penerbangan dari Bandar Seri Begawan pada jam 7 malam dan jam 8.35 malam dari Sandakan ke Bandar Seri Begawan.

Bagi penerbangan dari Tawau ke Bandar Seri Begawan, pada hari Rabu dan Jumaat jam 7.50 pagi, hari Isnin dan Khamis jam 7.05 malam dan hari Sabtu dan Ahad jam 7.10 malam.

Penerbangan laluan Bandar Seri begawan ke Tawau beroperasi jam 6.15 pagi pada hari Rabu dan Jumaat, jam 5.30 petang pada hari Isnin dan Khamis dan jam 7.35 petang pada hari Sabtu dan Ahad.

Selain itu, Persatuan Pelancongan Sandakan (STAN) akan bekerjasama dengan Malindo Airways bagi mempromosi Festival Agrikultur dan Makanan Sandakan 2019 yang akan berlangsung pada 13 hingga 15 September di tempat letak kereta terbuka di Bandar Kim Fung, Sandakan.

 Rumah Agnes Keith di Sandakan.
TERSERGAM INDAH: Rumah Agnes Keith di Sandakan.

Malindo Air telah memulakan perjalanan penerbangan baharu dari Kota Kinabalu ke Sandakan pada 18 Ogos lepas menawarkan tiga tiket dua hala Sandakan ke Kota Kinabalu sebagai hadiah cabutan bertuah dan pertandingan sempena festival itu.

Festival seumpama buat pertama kalinya diadakan pada 2017 dengan kehadiran kira-kira 30,000 orang telah mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa.

Matlamat utama acara itu adalah untuk menonjolkan kepelbagaian yang terdapat di Sandakan, dari acara kulinari oleh pelbagai komuniti setempat selain mempamerkan betapa luasnya pengeluaran agrikultur.

Acara itu akan mengetengahkan gerai makanan, trak makanan, demonstrasi masakan, pertandingan serta booth agrokultur.